GEORGE TOWN – Makam Dato’ Koyah bukan sekadar sebuah monumen sejarah yang kaku, sebaliknya ia merupakan simbol penempatan awal serta bukti sumbangan besar komuniti India Muslim yang telah bertapak di sini sejak lebih 200 tahun lalu.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, tapak bersejarah tersebut menjadi saksi kepada naratif migrasi dan kegigihan tokoh ulama tersohor, Datuk Syed Mustapha Idris, yang legasinya kini menjangkau usia 186 tahun.
“Sebagai tapak Warisan Kategori Satu, nilai sejarah Makam Dato’ Koyah amatlah tinggi buat identiti negeri ini.
“Malah, kita amat berbangga apabila tapak ini mendapat pengiktirafan di peringkat global menerusi dua anugerah berprestij daripada Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.
“Ia melibatkan Anugerah Kehormat Juri dalam Kategori Konservasi serta pengiktirafan bagi Kategori Program dan Aktiviti Warisan Kebudayaan menerusi penganjuran Program Sambutan Maulidur Rasul,” ujarnya dalam Majlis Jamuan Makan Malam Ramadan Ke-28 di sini pada 18 Mac 2026.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini sentiasa komited dalam menyokong usaha pelestarian warisan budaya demi memastikan ia terus relevan buat generasi akan datang.
Beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menjelaskan bahawa komitmen tersebut adalah selaras dengan hala tuju Belanjawan Negeri 2026 berjumlah RM1.088 bilion yang dibentangkan baru-baru ini.
“Menerusi peruntukan besar dalam Belanjawan 2026, tumpuan khusus diberikan kepada aspek kesejahteraan rakyat, dan ini termasuklah pemeliharaan jati diri serta warisan sejarah yang membentuk keunikan Pulau Pinang,” tambahnya lagi sambil berharap masyarakat lokal terus memperkukuh semangat muhibah berlandaskan gagasan Visi Penang2030.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Tanjong turut berucap dalam majlis keramaian tersebut.
Turut hadir, Presiden Persatuan Warisan Dato’ Koyah (PWDK), Dr. Abdul Rashid S.M. Masooth; Setiausaha Agung Persekutuan Pertubuhan India Muslim Malaysia (PERMIM) merangkap Setiausaha Kehormat PWDK, Adam Malik Shahul Hamid; Presiden Liga Muslim Pulau Pinang, Dato’ Seri Haja Najmudeen Kader; Presiden Central Muslim Society, Mohd. Hasan Othuman; Presiden Gabungan Presiden India Muslim Pulau Pinang (GAPEIM), Hamid Sultan Jabbar dan Pengerusi Jawatankuasa Majlis Jamuan Makan Malam Ramadan Ke-28, Mohd. Ismail Abdul Rahman.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN