PENANTI – Waris kepada Allahyarham Iszani Ismail, yang juga Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti dan Kampung (MPKK) Permatang Rawa, menerima sumbangan faedah pengurusan mayat berjumlah RM3,000.
Sumbangan diterima daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam satu lawatan ziarah yang diadakan di kediaman keluarga penerima dekat Permatang Rawa baru-baru ini.
Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Goh Choon Aik berkata caruman PERKESO sangat penting untuk membantu keluarga pekerja sekiranya berlaku perkara tidak diingini.
“Caruman kepada PERKESO amat penting kerana ia mampu memberikan perlindungan kepada pencarum serta keluarga mereka.
“Dalam keadaan seperti ini, sekurang-kurangnya waris masih mendapat sedikit bantuan kewangan untuk kelangsungan hidup dan membantu dari segi keperluan-keperluan lain,” ujarnya kepada pemberita ketika menziarahi keluarga mangsa 16 Mac lalu.

Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Pegawai Penyelaras Kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri (KADUN) Penanti, Muhammad Hamdi Md Noor dan Pegawai Khas kepada Perdana Menteri.
Menurut pihak PERKESO, Allahyarham yang meninggal dunia pada 15 Mac 2026 akibat pendarahan dalam kepala meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak, dengan dua daripadanya masih di bawah umur 21 tahun.
Selain faedah pengurusan jenazah sebanyak RM3,000, waris juga layak menerima faedah pencen penakat di bawah skim PERKESO dengan bayaran bulanan kepada balu sebanyak RM291.96 dan RM194.64 bagi setiap anak yang layak.
Choon Aik turut memaklumkan bahawa pejabatnya bersama pihak PERKESO telah mengambil tindakan segera bagi memastikan keluarga Allahyarham mendapat bantuan dan faedah yang sewajarnya tanpa kelewatan.