MAKSAK harap Kerajaan Negeri tambah peruntukan tahunan pertubuhan

SEBERANG JAYA – Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan (MAKSAK) berharap Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang menambah peruntukan tahunan, supaya lebih banyak lagi program dapat dianjurkan oleh pertubuhan tersebut.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Makan Malam MAKSAK Pulau Pinang Tahun 2018 di Hotel Exora Seberang Jaya pada 4 September 2018.

Beliau dalam pada itu turut mengalu-alukan kehadiran Yang di-Pertua Negeri (TYT) Pulau Pinang, Tun Dr. Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff; Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow serta beberapa tetamu kehormat utama lain.

Menurut Farizan, sejak tahun 2011, Kerajaan Negeri memperuntukan RM350,000 untuk MAKSAK berbanding tahun-tahun sebelumnya berjumlah RM250,000.

“Jumlah peruntukan ini, Y.A.B. (Kon Yeow) tidak pernah dikaji sejak lapan tahun lalu.

“Bagi pihak seluruh anggota gabungan MAKSAK Negeri Pulau, saya diminta menyampaikan harapan kepada Y.A.B. (Kon Yeow) bagi mendapatkan sedikit lagi pertambahan peruntukan tahunan,” jelasnya.

Lagipun, Farizan menyatakan bahawa anggota gabungan MAKSAK ketika ini kian bertambah selain banyak menganjurkan program kebajikan serta acara sukan membabitkan anggota-anggota kerajaan termasuk kakitangan Persekutuan yang berkhidmat di negeri ini.

Tambah beliau, program derma darah dan pemeriksaan kesihatan; sukarelawan bencana turun padang; program kebajikan bersama-sama atlet MAKSAK; festival sukan serta kebudayaan merupakan antara program tahunan utama pertubuhan tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS