Malaysia disaran contohi Jepun dan Taiwan santuni warga emas

BATU MAUNG – Pejabat Ahli Parlimen Bayan Baru dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Barat Daya mengambil inisiatif menubuhkan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Bayan Baru bagi kemudahan golongan tersebut.

Ahli Parlimennya, Sim Tze Zin berkata, ia berikutan 15 peratus daripada populasi rakyat Malaysia akan terdiri daripada warga emas menjelang tahun 2030 termasuk di Pulau Pinang.

“Saya melihat kita belum bersedia ke arah itu iaitu menjadi ‘negara tua’, kita boleh mencontohi Jepun dan Taiwan dalam menyantuni warga emas sambil mengisi masa lapang dengan lebih  berkualiti sambil beri manfaat kepada komuniti.

“Saya pernah melawat satu muzium di Taiwan dan melihat warga emas melakukan tugas sukarela sebagai jurupandu sambil memberi penerangan kepada pelancong.

“Ditanya mengenai gaji, mereka menyatakan bahawa mereka dibayar elaun makan dan elaun lain, ternayata mereka rasa dihargai dan menikmati hidup sedemikian,” ujar beliau ketika mengadakan lawatan ke pusat warga emas berkenaan dekat Bukit Gedung, di sini pagi tadi.


Hadir sama, Pegawai JKM Barat Daya, Muhamad Zaiful Ishak dan Pengerusi PAWE Bayan Baru, Zaini Ahmad.

Difahamkan, PAWE Bayan Baru merupakan pusat aktiviti warga emas kedua di negeri ini selepas PAWE Balik Pulau.

PAWE Bayan Baru akan menjadi tempat bagi warga emas setempat untuk beriadah, pusat penjagaan kesihatan, kelas mengaji bagi bergama Islam dan aktiviti lain yang difikirkan perlu dan bersesuaian.

Dalam pada itu, Tze Zin memberitahu bahawa PAWE Bayan Baru akan mengehadkan aktiviti warga emas pada skala kecil sahaja kerana perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Apabila keadaan sesuai kita akan buka secara rasmi. Kita akan panggil Ketua Menteri (Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow) untuk rasmi, bagi yang berminat nak jadi ahli, sekarang boleh datang untuk pendaftaran,” jelasnya lagi.

Mengulas lanjut, beliau memohon Kerajaan Persekutuan untuk menggubal akta baharu berkaitan warga emas.

“Warga emas hari ini ada yang diabaikan, didera, dihalau oleh anak-anak sendiri, wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dicuri, penipuan dalam talian (scam) dan sebagainya.

“Malangnya kini parlimen tidak boleh bersidang, apabila parlimen dibuka semula saya akan bangkitkan perkara ini,” katanya.

Tze Tzin dalam pada itu merakamkan ucapan terima kasih kepada mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang meluluskan peruntukan kepada JKM Barat Daya untuk pembinaan PAWE Bayan Baru yang terletak di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Bukit Gedung.

Kesempatan sama, Tze Tzin turut menyampaikan bantuan keperluan harian kepada warga emas yang hadir ke majlis itu.

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI