BUKIT TENGAH – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa negara dan negeri ini sebenarnya memerlukan dasar menua yang lebih komprehensif memandangkan angka statistik warga emas saban tahun kian meningkat.
Beliau berkata demikian ketika mengulas suatu laporan berita akhbar berbahasa Cina hari ini yang mendedahkan bahawa warga emas berusia lebih 65 tahun meningkat 6.6 peratus pada tahun 2020 berbanding tahun sebelumnya, dan terus meningkat 8.0 peratus pada tahun lepas.
“Bukan sahaja Malaysia dan Pulau Pinang, malah seluruh dunia sedang menuju ke (status) negara menua atau ‘negara warga emas’ ekoran daripada jangka hayat (masyarakatnya) yang semakin panjang.
“Perkhidmatan perubatan yang bagus dan gaya hidup lebih sihat turut menyumbang kepada jangka hayat masyarakat yang semakin panjang.
“Maka, ia memerlukan dasar kerajaan dan perkhidmatan kesihatan untuk memastikan masyarakat kita dapat beralih kepada masyarakat menua yang lebih baik,” jelasnya semasa berucap dalam Majlis Makan Malam Sempena Sambutan Hari Ibu Bapa di Dewan Persatuan Penduduk Taman Sentul Jaya di sini pada 8 Jun 2025.
Menurut Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi itu lagi, semua kita akan terus mengenang jasa ibu bapa mengasuh anak-anak sejak kecil serta berkorban tanpa syarat menyebabkan dua susuh tubuh itu terus dikenang sebagai tiang seri pada institusi keluarga.
Sehubungan itu, beliau berharap Kerajaan Negeri hari ini juga mahu dikenang sebagai pihak yang turut berusaha meningkatkan kualiti hidup masyarakat termasuk kelompok warga emas.
“Seperti ibu bapa yang senantiasa berkorban jiwa dan raga untuk kehidupan anak mereka, kalau boleh Kerajaan Negeri hari ini juga mahu dikenang dan dihargai kerana senantiasa berusaha meningkatkan kualiti hidup rakyat Pulau Pinang.
“Bagi tahun 2025 khususnya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memperuntukkan sebanyak RM49.45 juta kepada 274,151 penerima menerusi program i-Sejahtera Fasa 1.
“Sukacita dimaklumkan bahawa penyaluran bantuan bagi Fasa 2 dijangka akan dilaksanakan pada bulan Ogos 2025,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Ooi Boon Sheng (wakil ADUN Bukit Tengah); Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Minyak Mukim 13, Chew Chin Ewo dan anggota Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) lokal turut sertai majlis tersebut.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT