Maqis rekod 246 kes tangkapan di NBCT, 40% isu label barang import tak ikut piawaian

Admin
ZARINA Ramli (kaman sekali) membawa rombongan Saiful Yazan Alwi (kiri sekali) melawat tempat kuarantin haiwan ternakan di Pejabat Maqis Negeri Pulau Pinang di sini pada pagi tadi.

BAYAN LEPAS – Sehingga kini, 40 peratus daripada 246 kes tangkapan yang direkodkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaaan Malaysia (Maqis) di ‘pintu masuk negara’ dekat Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), Pulau Pinang adalah berkaitan isu pelabelan barang makanan mentah dan hasil pertanian yang tidak mengikut piawaian ditetapkan.

ZARINA Ramli

Mengulas lanjut, Pengarah Maqis Pulau Pinang, Zarina Ramli memberitahu bahawa kutipan hasil melalui kompaun yang dikeluarkan oleh jabatan persekutuan tersebut pula pada tahun ini adalah mencecah RM1.2 juta.

Justeru, beliau berharap kempen ‘Tiada Hari Tanpa Tangkapan’ yang dilancarkan oleh Maqis demi memastikan barang makanan mentah serta hasil pertanian import yang diimport masuk ke negara ini benar-benar bersih, patuh piawaian pelabelan serta bebas daripada risiko wabak dapat menyemarak lagi kesedaran dalam kalangan pengguna.

“Di NBCT, barang-barang seperti sayur-sayuran kebanyakan masuk melalui kontena…hasil kompaun (yang dikutip) hampir RM1.2 juta,” jelasnya dalam sidang media bersama-sama Ketua Pengarah Maqis, Saiful Yazan Alwi di Pejabat Maqis Pulau Pinang di sini pada 7 September 2020.

SAIFUL Yazan Alwi

Sebelum pada itu, Saiful Yazan menyempurnakan acara perasmian Majlis Penghargaan Warga Media Dan Anggota Maqis Negeri, bagi menggantikan Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin yang tidak dapat hadir atas sebab tertentu.

Menurut Saiful Yazan, Pulau Pinang berada di kedudukan kedua tertinggi selepas negeri Selangor daripada segi jumlah rekod kes tangkapan semasa yang dibuat oleh Maqis.

“Jumlah rampasan semasa paling besar adalah di Selangor sebab saiz perdagangan adalah sangat besar, kedua terbesar adalah Pulau Pinang dan ketiga adalah di Johor,” jelasnya lagi.

Di samping itu, beliau memberitahu bahawa kempen ‘Tiada Hari Tanpa Tangkapan’ yang dilancarkan oleh Maqis sejak tahun lepas bukanlah bertujuan memburu publisiti media semata-mata.

Sebaliknya, menurut beliau, Maqis memainkan peranan dalam memastikan barang mentah serta hasil pertanian import adalah benar-benar berkualiti, patut piawaian pelabelan serta dijamin halal jika melibatkan pengguna beragama Islam.

“Kalau di Pulau Pinang ini, isu label produk tak ikut syarat yang ditetapkan lah, kerana kita menguatkuasa peraturan berkaitan FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan), contohnya, cili ini diimport dari negara mana, semua perlu ada label yang betul.

“Sebagai pengguna, anda perlu tahu tiap-tiap barang pertanian yang masuk ke negara ini, diimport dari negara mana, (maka) itu salah satu tanggungjawab (pemeriksaan barangan yang dibuat oleh) Maqis,” jelasnya lagi.

Menjawab soalan pemberita selepas itu, beliau turut memberitahu bahawa proses penambahan bilangan anggota Maqis demi meningkatkan tahap kawalan di 57 pintu masuk negara termasuk NBCT dijangka bermula pada hujung tahun ini juga.

“Terima kasih kepada Kerajaan (Persekutuan) kerana telah memberi peluang kepada Maqis untuk membuat permohonan penstrukturan (anggota baharu), dan kita telah bekalkan (kertas cadangan penambahan bilangan anggota) kepada Jabatan Perkhidmatan Awam.

“InsyaAllah kita (Maqis) akan mendapat kelulusan itu dalam tahun ini (2020),” jelasnya kepada pemberita.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI