Masjid Benggali, Surau Al-Raudah terima peruntukan tambah baik kemudahan

Admin

GEORGE TOWN – Masjid Benggali dekat Lebuh Leith dan Surau Al-Raudah, Lebuh Macallum masing-masing menerima peruntukan daripada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow bagi menambah baik kemudahan rumah ibadat umat Islam tersebut.

 

Bagi Masjid Benggali, peruntukan diterima adalah sebanyak RM34,047 manakala Surau Al-Raudah (RM18,800).

 

“Masyarakat George Town sememangnya sangat unik dengan kepelbagaian kaum dan agama yang tinggal dalam satu komuniti sama.

 

“Justeru, sebagai Kerajaan Negeri, kita perlu uruskan keharmonian ini dengan baik dan yang penting masyarakat juga perlu menjaga diri serta (jaga) semangat perpaduan ini,” ujarnya sejurus menyampaikan sumbangan di Surau Al-Raudah di sini pagi tadi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen; Pengerusi merangkap Imam Masjid Benggali, Syed Mohamad Mohamad Ali dan Pengerusi Surau Al-Raudah, Abdullah Abdul Rahman.

Syed Mohamad ketika ditemui Buletin Mutiara memaklumkan bahawa pihaknya akan menggunakan peruntukan tersebut untuk menukar karpet dewan solat utama.

 

Abdullah dalam pada itu menyatakan bahawa jawatankuasa surau akan menggunakan peruntukan berkaitan bagi mengecat surau, membeli vakum, penapis air serta rak barangan baharu.

 

Kedua-dua Pengerusi tersebut turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Ketua Menteri selaku Ahli Parlimen Tanjong yang cakna keperluan surau dan masjid sekitar kawasannya.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALISSALA THIAN & LAW SUUN TING