Mawar komited selesai permasalahan wanita

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

JAWATANKUASA penganjur Majlis Makan Malam ‘Wacana Sempena Hari Wanita Sedunia’ bergambar kenang-kenangan bersama Chong Eng (duduk, tiga dari kanan) di sini baru-baru ini.
JAWATANKUASA penganjur Majlis Makan Malam ‘Wacana Sempena Hari Wanita Sedunia’ bergambar kenang-kenangan bersama Chong Eng (duduk, tiga dari kanan) di sini baru-baru ini.

PENAGA – Persatuan Kebajikan Wanita Negeri Pulau Pinang atau lebih dikenali dengan MAWAR adalah sebuah badan bukan kerajaan yang ditubuhkan secara rasminya pada 9 Mac lalu bagi memberi peluang kepada kaum Hawa untuk berinteraksi antara satu sama lain dan juga membantu dalam menyelesaikan permasalahan masing-masing.

Dirasmikan oleh Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Chong Eng, MAWAR diinspirasikan oleh Muslimat PAS kawasan Parlimen Kepala Batas yang diterajui oleh Kalsum Said yang juga dilantik sebagai Pengerusi MAWAR Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Chong Eng dalam ucapan perasmian beliau mengucapkan tahniah dan syabas kepada barisan ahli jawatankuasa yang begitu komited dalam merealisasikan penubuhan MAWAR.

“Kesaksamaan jantina bukanlah bererti wanita mendahului lelaki atau terkebelakang, sebaliknya, ia membawa makna seiringan dalam semua perkara,” ujar Chong Eng yang juga Presiden Persatuan Good Governance and Gender Equality (3G’s) Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, menurut Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri Penaga, Rosidi Hussain yang juga menjadi pendorong kepada penubuhan MAWAR menegaskan bahawa pertubuhan tersebut bukanlah landasan politik, sebaliknya, menjadi mentor kepada golongan wanita terutama ibu-ibu tunggal dan anak-anak yatim.

“MAWAR bukan sahaja memberi kaunseling dan dorongan kepada ibu tunggal, tetapi, turut menjadi pembimbing kepada anak-anak yatim dalam pelajaran dan pembelajaran. Itu sasaran MAWAR,” ujar Rosidi.

Tambah beliau lagi, MAWAR yang kini beribu pejabat di Pasir Gebu, Penaga, turut menjadi pembela kepada wanita yang dianiayai atau mengalami tekanan akibat kepincangan rumahtangga dan keganasan domestik.

Hadir sama di majlis makan malam yang bertemakan ‘Kesaksamaan Gender: Satu Pengenalan’ ialah Ketua Pegawai Eksekutif Penang Women’s Development Corporation (PWDC), Sri Husnaini Sofjan; Ahli Lembaga Pengarah PWDC, Aida Yusof Rawa; Ketua Dewan Muslimat PAS Pulau Pinang, Rahmah Md. Isa dan Penasihat MAWAR, Zulkefli Lazim.