MBPP harap TNB segera turap jalan rosak, tempoh seminggu diberikan – Ahli Majlis

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berharap pihak berwajib iaitu Tenaga Nasional Berhad (TNB) supaya segera menurap sebahagian Jalan Macalister yang rosak teruk seperti dijanjikan oleh syarikat bekalan elektrik berkenaan.

Ahli Majlis bagi MBPP, Wong Yuee Harng berkata, masalah timbul selepas syarikat berkenaan melakukan kerja-kerja dipercayai pemasangan kabel di jajaran Jalan Macalister.

“Masalah yang timbul di tapak ini adalah disebabkan oleh keadaan sebahagian jalan yang rosak teruk berikutan kerja-kerja yang dijalankan oleh TNB dan boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya.

“Setakat ini, pihak MBPP telah mengeluarkan empat Notis Kerja Peparitan kepada TNB sebagai arahan membaiki peparitan yang rosak.

“(Dan) mengikut perancangan TNB, jalan dan kawasan tersebut akan diturap pada hujung November lalu atau awal Disember ini, namun sehingga kini tiada sebarang kerja penurapan dijalankan,” ujar Yuee Harng pada sidang media yang diadakan dekat sini, tengah hari ini.

Difahamkan, MBPP juga telah mengeluarkan surat tempoh kepada pihak TNB agar kerja-kerja penurapan dapat dilakukan segera.

“MBPP memberikan tempoh seminggu mulai 12 Disember lalu sehingga 19 Disember.

“(Dan) sekiranya pihak TNB gagal melaksanakannya dalam tempoh tersebut, permit ini akan dihentikan dan MBPP akan menurapkan jalan ini dengan kos yang ditanggung (oleh TNB) melalui deposit cagaran,” tegasnya sambil memaklumkan anggaran kos sebanyak RM150,000.

Usai sidang media, Yuee Harng bersama-sama para media dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng serta Ahli Majlis bagi MBPP, Gerald Mak Mun Keong turut meninjau kawasan tersebut.

Teks & Gambar : YUSNINA MOHAMAD YUSOF