MBPP jalankan perkhidmatan kutipan sampah khas sempena Tahun Baru Cina

Admin

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan menjalankan kutipan khas sampah domestik dan pukal sempena Tahun Baru Cina yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Ahli Majlis bagi MBPP, Nicholas Theng memaklumkan bahawa pihak berkuasa tempatan (PBT) itu akan membuat kutipan sampah sebanyak dua kali sehari bermula hari ini (12 Januari) sehingga 21 Januari 2023.

“Kutipan pertama bakal dijalankan bermula jam 2 pagi sehingga 10 pagi manakala kutipan kedua dijalankan bermula jam 12 tengah hari sehingga 3 petang.

“Bagi kutipan sampah domestik, premis kediaman bertanah akan mengikut jadual biasa iaitu sebanyak tiga kali seminggu, manakala premis kediaman bertingkat dijalankan setiap hari kecuali pada hari Ahad,” ujarnya semasa sidang media berkenaan Jadual Kutipan Khas Sampah Domestik dan Pukal 2023 dekat sini pagi tadi.

DARI kiri, Nicholas Theng & Alan Lim Wei Lun.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi MBPP, Alan Lim Wei Lun.

Dalam pada itu, Theng turut menyatakan bahawa penambahan tong multi lift (ML) akan ditingkatkan ke beberapa lokasi pasar awam bertujuan memudahkan masyarakat membuang sampah pukal.

“Pihak MBPP akan menambah bilangan tong ML di beberapa pasar awam yang sering menjadi ‘hotspot’ seperti Pasar Awam Pulau Tikus; Pasar Awam Taimina Sungai Ara; Pasar Awam Lebuh Campbell; Pasar Awam Taman Free School dan Pasar Awam Air Itam serta Pasar Awam Farlim.

“Bukan itu sahaja, perkhidmatan tambahan bagi kutipan sampah pukal turut dijalankan pada tempoh yang sama, bagi sampah pukal yang melebihi muatan anda perlu hubungi pihak MBPP untuk mendapatkan perkhidmatan khas,” tambahnya lagi.

Sebarang pertanyaan mengenai perkhidmatan khas, sila hubungi Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBPP di talian 042824284 / 04-2633000 (waktu pejabat).

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD