GEORGE TOWN – Seramai lima individu dikenakan kompaun kerana didapati sengaja membuang sisa makanan dengan tujuan untuk memberi makan kepada burung merpati di tempat awam.
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menyatakan bahawa individu tersebut telah dikenakan tindakan penguatkuasaan mengikut Seksyen 47(1), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 yang membawa kompaun sebanyak RM250 bagi setiap kesalahan.
Menurut MBPP, tindakan mahkamah juga akan dikenakan sekiranya individu tersebut masih ingkar serta pesalah yang tidak membayar kompaun untuk kesalahan yang dilakukan.
“Walaupun MBPP telah melaksana hebahan dan pendidikan awam, namun masih terdapat individu-individu yang tidak mengendahkan nasihat dan sengaja memberi makanan kepada merpati.
“Sehubungan itu, MBPP telah mengambil tindakan tegas penguatkuasaan dan telah mengeluarkan sebanyak lima kompaun (NTK) terhadap individu- individu tersebut,” kata MBPP dalam kenyataan yang dikeluarkan senalam.
Serentak dalam melaksana operasi kawalan populasi merpati, MBPP menerusi Jabatan Kesihatan Persekitaran juga telah berjaya memusnahkan sebanyak 36 sarang burung gagak pada April 2025.
“Statistik pada bulan April 2025 mencatatkan sebanyak 818 ekor merpati telah berjaya ditangkap menerusi operasi kawalan populasi merpati berjadual di seluruh kawasan “hotspot”.
“Sebagai langkah preventif berterusan, MBPP telah menyusun atur tindakan pemantauan dan operasi kawalan populasi merpati untuk dilaksanakan setiap hari mengikut lokasi yang telah ditetapkan dalam senarai pemantauan ketat,” kata mereka.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MBPP