Musim durian bermula, sasar jadi produk pelancongan negeri

Admin
img 7001

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri mahu pasaran durian yang sinonim dengan Pulau Pinang dipasarkan secara meluas ke peringkat antarabangsa dan menjadi produk pelancongan negeri ini.

 

Menurut Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai, dalam menggalakkan perkembangan tersebut, pihaknya mengadakan promosi awal apabila musim durian Pulau Pinang bermula.

 

“Pelancong dari Singapura; China; Thailand; Australia; Eropah dan lain-lain negara biasanya akan berkunjung ke sini untuk merasai keenakkan buah durian di Pulau Pinang seperti ‘Musang King’, ‘Duri Hitam’, ‘Hor Lor’ dan bermacam-macam lagi.

 

“Pada tahun ini, musim durian bermula pada bulan Mei hingga Ogos, kemuncaknya pada Jun hingga Julai dan tidak terhad di Balik Pulau serta Teluk Bahang sahaja bahkan menjangkau hingga ke Juru; Junjung; Sungai Bakap dan Nibong Tebal juga.

img 7011

“Bagi memudahkan para pelancong, Kerajaan Negeri melalui Penang Global Tourism (PGT) turut melancarkan PG Durian Leaflet untuk pelancong mengetahui lokasi untuk menikmati durian di Pulau Pinang,” ujarnya pada Majlis Pelancaran PG Durian di Tapak Arkeologi Sia Boey semalam.

 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; ADUN Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Mohd. Zakuan Zakaria dan Ketua Pegawai Eksekutif PGT, Ooi Chok Yan.

img 7013

Hon Wai dalam pada itu memaklumkan bahawa pihak hotel turut menyediakan pengangkutan kepada pelancong untuk terus dibawa ke kebun bagi menikmati durian.

 

Justeru, beliau berharap musim durian pada tahun ini akan membawa pulangan lumayan kepada banyak pihak serta menjadi sumber ekonomi negeri.

Difahamkan untuk pasaran eksport di China bagi jenis ‘Musang King’ boleh mencecah harga RM149 satu kilogram.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD