GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bakal menyediakan perkhidmatan bas percuma, Central Area Transit (CAT) ke kawasan Hospital Pulau Pinang (HPP).
Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran memberitahu bahawa perkhidmatan bas percuma tersebut akan bermula pada 1 Januari 2026 membabitkan peruntukan berjumlah RM1.7 juta setahun.
“Perkhidmatan bas percuma ini disediakan susulan masalah kekurangan tempat meletak kenderaan yang semakin kritikal di kawasan HPP.
“Oleh itu, MBPP berharap agar inisiatif ini akan dapat menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan awam untuk ke HPP, sekali gus membantu mengatasi masalah kekurangan parkir.
“Perkhidmatan bas percuma ini akan bermula dari Komtar dan akan melalui jarak sejauh 8 kilometer (km) untuk ke HPP,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Biasa Majlis Bilangan 10 Tahun 2025 dekat Dewan Persidangan Majlis, Dewan Bandaraya di sini pagi tadi.



Pada mesyuarat sama, Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Lalu Lintas MBPP turut meluluskan beberapa cadangan penukaran aliran lalu lintas jalan di sebahagian Lintang Batu Maung 4, dengan arah aliran dari Lebuh Batu Maung 2 menuju ke Lintang Batu Maung 3 yang dilaksanakan secara percubaan dikekalkan.
Selain itu, MBPP juga meluluskan cadangan pelaksanaan Projek Blue-Green Corridor di Jalan Padang Kota Lama melalui projek Nature – Base Climate Adaptation Programme For The Urban Area of Penang Island (PNBCAP).
“Cadangan ini termasuklah pelaksanaan jalan sehala bagi Jalan Tun Syed Sheh Barakhbah, dari Jalan Tun Syed Sheh Barkhbah ke Lebuh Duke, Lebuh Duke ke Lebuh Light dan penutupan Jalan Padang Lota Lama sebagai zon pejalan kaki,” katanya.
Oleh : SUANRTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS