MBSP fokus persekitaran selamat 2026, tambah CCTV

img 4183

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) memperuntukkan RM46.21 juta dalam belanjawan pihak berkuasa tempatan itu bagi 2026 dalam menjayakan inisiatif persekitaran selamat termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV).

 

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid berkata, sebanyak RM900,000 diperuntukkan untuk pemasangan CCTV manakala RM700,000 lagi bagi kerja-kerja penyelenggaraan.

 

“Sebanyak 132 unit CCTV baharu akan dipasang sebelum akhir tahun ini manakala 480 unit lagi dijangka siap pada 2026, tambahan kepada 388 unit sedia ada,” ujarnya ketika membentangkan Belanjawan MBSP 2026 di Dewan Kenanga, Menara MBSP di sini hari ini.

 

Tambah beliau, pemasangan CCTV adalah bertujuan meningkatkan keselamatan awam termasuk di kawasan Perindustrian Bebas (FIZ) Perai yang turut menggunakan sistem eFIZ bagi mempercepat prosedur pengurusan dan kawalan keselamatan.

dsc 3162

Selain itu, jelasnya, perbelanjaan persekitaran selamat turut meliputi pemasangan lampu jalan, kerja kecemasan, bekalan peralatan keselamatan, penguat kuasa, perkhidmatan warden lalu lintas, sistem pencegahan kebakaran serta projek rendah karbon.

 

“Untuk 2026, MBSP menganggarkan pendapatan sebanyak RM392.94 juta berbanding perbelanjaan RM430.60 juta dengan defisit RM37.66 juta,” katanya lagi.

 

Belanjawan MBSP untuk tahun hadapan memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur, gaya hidup sihat, pembangunan hijau, teknologi baharu, ekonomi berdaya saing, warisan budaya, bandar berdaya huni, keterlibatan komuniti, pembangunan inklusif, modal insan dan kebajikan kakitangan.

 

Setiausaha Bandaraya MBSP Mohd. Ibrahim Md. Nor, barisan Ahli Majlis MBSP dan ketua jabatan antara yang hadir sama pada majlis berkaitan di sini.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MBSP