MBSP lancar sistem perbaharui lesen perniagaan ‘SPEEDBiz‘

Admin
SR. Rozali Mohamud (depan, tengah) menyempurnakan gimik pelancaran ‘SPEEDBiz’ di Menara Bandaraya MBSP di sini pada pagi ini.

SEBERANG JAYA – Bersesuaian dengan normal baharu semasa pandemik COVID-19, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) memperbaiki lagi sistem pelesenan secara dalam talian sedia ada, yang kini dikenali sebagai ‘SPEEDBiz’.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata bahawa menerusi sistem baharu tersebut pemohon tidak perlu lagi mengisi borang secara manual serta hadir ke pejabat pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan bagi mengemukakan dokumen permohonan lesen dan permit berkaitan.

“Semua permohonan lesen dan permit perniagaan disediakan perkhidmatan permohonan secara dalam talian (online) di speedbiz.mbsp.gov.my.

“Sistem baharu ini berasaskan ‘web base’ yang membolehkan sistem diakses di mana-mana sahaja… boleh menggunakan telefon pintar masing-masing,” jelasnya semasa melancarkan sistem ‘SPEEDBiz’ di Menara Bandaraya MBSP di sini pada 24 Ogos 2021.

Turut serta, Setiausaha Bandaraya MBSP, Ir. Rosnani Mahmod; barisan Ahli Majlis dan Ketua-ketua Jabatan bagi PBT berkenaan.

Menurut Rozali lagi, para pemohon juga boleh mendapatkan maklumat berkaitan status permohonan mereka menerusi sistem pintar tersebut.

“Pemohon atau peniaga boleh mencetak sendiri lesen perniagaan mereka melalui sistem ini tanpa perlu hadir ke MBSP,” katanya lagi sambil merakamkan penghargaan kepada Syarikat Happy Icon kerana membangunkan sistem ‘SPEEDBiz’.

Di samping itu, beliau memberitahu bahawa ‘SPEEDBiz’ juga akan diintegrasi dengan sistem pintar lain yang disediakan oleh MBSP seperti Sistem Smart Parking, Sistem i-Kompaun dan Sistem Smart Elit (cukai taksiran).

Difahamkan, setiap peniaga dan penjaja yang menjalankan aktiviti perniagaan di kawasan pentadbiran Seberang Perai dimestikan mempunyai dokumen rasmi berupa lesen perniagaan berdasarkan Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Undang-Undang Kecil Bayaran Lesen, MBSP 1980.

Susulan itu, MBSP membangunkan ‘Sistem Lotus’ bagi membantu pengurusan lesen perniagaan, diikuti Sistem e-Lesen 2.0 pada tahun 2012, dan kemudiannya membangunkan sistem yang lebih efisien dikenali sebagai ‘SPEEDBiz’ sejak tahun 2020.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR