MBSP sasar semua premis makanan capai Gred A dan B tahun depan

PERAI – Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, pihaknya menyasarkan semua premis makanan di Seberang Perai mencapai Gred A dan B pada tahun depan.

“Sehingga kini, hanya 31 peratus atau 822 daripada 2,141 premis makanan yang ada berjaya mencapai Gred A dan B.

“Justeru, pada tahun depan kita mahu menumpukan kepada baki 69 peratus atau 1,319 premis makanan yang berada pada Gred C akan ditingkatkan menjadi Gred A atau B pada tahun depan.

Sr. Rozali Mohamud menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang wakil komuniti yang aktif menjalankan program-program kitar semula di Seberang Perai.

“Semua pengusaha premis makanan tidak boleh ambil lewa hal ini kerana MBSP akan mengambil tindakan tegas dengan menutup premis jika gagal pengusaha meningkatkan tahap kebersihan,” katanya semasa merasmikan Sambutan hari Kitar Semula Kebangsaan Peringkat Seberang Perai dekat Megamall Pinang, Jalan Baru di sini, pada 16 November lalu.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi MBSP, Tan Cheong Heng dan Tan Chee Teong; Pengurus Besar Badan Pengurusan Bersama (JMB) Megamall Pinang, Datuk Ng Hooi Lai serta wakil-wakil komuniti setempat.

Mengulas lanjut, Rozali memberitahu bahawa kawasan Seberang Perai berjaya mencapai kadar kitar semula tertinggi dalam negara iaitu 47.13 peratus pada tahun ini sehingga September lalu.

“Kita boleh mencapai kadar kita semula kerana kita mendapat sokongan yang kuat daripada penduduk.

“Hasil perjumpaan dengan penduduk yang kita adakan mereka membangkitkan beberapa masalah iaitu kesesakan lalu lintas, pengurusan sampah, masalah banjir kilat dan ekonomi yang makmur.

“Justeru, MBSP memberikan tumpuan kepada aspek-aspek ini melalui pembentangan Bajet 2020 bertemakan “Seberang Perai Green Bajet” yang memperuntukan sebanyak RM113.58 juta bagi tujuan pembersihan dan kehijauan,” ujarnya lagi.

Antara produk yang dihasilkan menggunakan sisa buangan yang dikitar semula.

Dalam pada itu, Rozali memaklumkan bahawa MBSP membelanjakan kira-kira RM100 juta bagi tujuan pengurusan sisa pepejal pada setiap tahun sejak lima tahun lalu.

“Saya merasakan ini satu pembaziran kerana kita dapati 41 peratus daripada sampah yang dibuang di tapak pelupusan adalah sampah organik yang boleh dikompos dan dikitar semula.

“Oleh itu, sekiranya sampah ini dialihkan daripada dibawa ke tapak pelupusan, kita yakin akan dapat menjimatkan lagi perpelanjaan yang mana penjimatan ini boleh digunakan untuk tujuan pembangunan lebih bermanfaat untuk masyarakat,” jelasnya lagi.

Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF