MBSP tambah baik 13 perkhidmatan semasa tempoh pandemik COVID-19

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah melaksanakan 13 penambahbaikan bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada penduduk ketika tempoh pandemik COVID-19.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata bahawa penambahbaikan dilakukan adalah melibatkan proses kerja yang dipendekkan, penggubalan garis panduan baharu serta penghasilan produk baharu yang lebih mesra rakyat.

“Anyaranya termasuklah mengeluarkan Kebenaran Mula Kerja (COW) pembinaan bangunan sebaik sahaja pelan bangunan dikemukakan ke Jabatan Bangunan MBSP.

“Produk ini menjimatkan masa pembinaan,
sekurang-kurangnya 37 hari selain memberi kemudahan menjalankan perniagaan, mempercepatkan pembinaan dan seterusnya menarik minat pelaburan asing ke Seberang Perai,” katanya semasa berucap pada Majlis Sambutan Hari Bandaraya 2021 dekat Menara Bandaraya MBSP di sini pagi tadi.

Sr. Rozali Mohamud bersama-sama Jagdeep Singh Deo semasa menyempurnakan Sambutan Hari Bandaraya 2021 dekat Menara Bandaraya MBSP pagi tadi.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Sing Deo; Ahli-Ahli Majlis bagi MBSP; Pemangku Setiausaha Bandaraya, Baderul Amin Abdul Hamid serta Ketua-ketua Jabatan MBSP.

Tambah Rozali, MBSP juga mengeluarkan garis panduan rumah pekerja di luar tapak bina(CLQ sementara di luar tapak bina) serta kelulusan permit sementara rumah pekerja dalam tempoh dua hari.

“Garis panduan ini mempercepatkan pembinaan bangunan industri dan kompleks perniagaan khususnya di kawasan Batu Kawan dan sekitarnya.

“Selain itu, kita juga telah memendekkan kelulusan Pelan Kebenaran Merancang (PKM) iaitu daripada 108 hari kepada 71 hari permohonan oleh pemaju dan ulasan jabatan teknikal dilakukan secara atas talian.

“MBSP juga memberi keutamaan dan pemprosesan fast track untuk melulusan PKM dan Pelan Bangunan
(PB) bagi pembangunan yang direka bentuk menggunakan 15 peratus tenaga yang diperbaharui seperti tenaga solar,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa garis panduan penginapan pekerja sementara di bangunan perniagaan sedia ada juga turut dikeluarkan.

“Majikan boleh menyediakan penginapan pekerja dengan kos permohonan yang rendah dan kelulusan yang cepat iaitu pada hari yang sama, jika tiada melibatkan pindaan dibuat kepada bangunan yang dipohon.

Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) meraikan Hari Bandaraya bagi tahun kedua pada tahun ini.

“Malah, MBSP juga mengeluarkan garis panduan perancangan tukar guna bangunan industri untuk dijadikan penginapan pekerja sementara (CLQ Sementara Bangunan Industri sedia ada).

“Garis panduan ini mempunyai tujuan serampang dua mata iaitu membantu mengurangkan kegelisahan rakyat dengan kehadiran warga asing terutama semasa pandemik serta mengurangkan kos operasi kepada pengusaha yang mana bangunan kilang sedia ada boleh ditukar guna kepada penginapan pekerja berpusat sementara (CLQ),” ulasnya lagi.

Rozali berkata, paling penting adalah MBSP juga melaksanakan program Sejahtera Peniaga dengan memperkenalkan sistem permohonan bersepadu pertama dalam negara, yang mana permit sementara bangunan, lesen perniagaan, pemberian patil nombor premis dan pengurusan sampah yang teratur telah disekalikan.

“Program ini akan memberi manfaat dan merungkai masalah 1,000 peniaga makanan, kedai runcit dan peniagaan kecil seperti kedai gunting rambut yang berada di luar kawasan pembangunan atau di kampung-kampung,” jelasnya.

Selain itu katanya, MBSP juga melaksanakan sistem pengurusan sampah i-collect menggunakan konsep pay-asyou-use yang mana inisiatif berkenaan juga merupakan yang pertama dalam negara.

“Projek perintis ini menjadi pakej kepada Program Sejahtera Peniaga bertujuan untuk mencapai sasaran 50 peratus pengurangan penjanaan sampah pada tahun 2022.

“Payas-you-use akan diperluaskan kepada perkhidmatan-perkhidmatan lain secara berperingkat dan akan menjadi normal baharu mulai tahun 2022,” ulasnya lagi.

Beliau berkata, MBSP turut menyediakan sistem Pengurusan Lesen Interaktif Bersepadu atau singkatanya SpeedBiz untuk membolehkan pemohonan lesen premis perniagaan dan iklan dibuat secara atas talian.

“SpeedBiz mencerminkan budaya kerja generasi baru yang bakal memberi manfaat kepada 33,139 pemegang lesen premis peniagaan am dan industri di Seberang Perai.

“Malah, MBSP juga telah mentransformasikan perkhidmatan kaunter berpusat dengan menyediakan 100 perkhidmatan di Cyber Counter selain memperbanyakkan program Digital@Seberang Perai bagi mendidik penduduk menggunakan perkhidmatan virtual.

“Pendidikan di Cyber Counter Corner telah berjaya membangunkan modal insan bukan sahaja di kalangan warga kerja MBSP tetapi juga warga Seberang Perai yang membolehkan mereka menjadi warga bandar pintar,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa transaksi tanpa tunai meningkat dengan ketara yang mana sehingga 7 September lalu, sebanyak 70.29 peratus daripada keseluruhan transaksi (294,532 daripada 419,002) bernilai RM122.7 juta berjaya dikutip.

“Usaha-usaha dan pencapaian ini tidak akan berjaya tanpa sokongan Ahli-ahli Majlis, Setiausaha Bandaraya, Ketua-ketua Jabatan, ‘Wira Oren’ serta seluruh warga kerja MBSP,” ujarnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MBSP