SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menambah kekerapan kutipan bagi sampah pukal dan domestik sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2026 yang dijadualkan pada 17 dan 18 Februari ini.
Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid berkata kutipan sampah pukal di kawasan perumahan di seluruh Seberang Perai akan ditambah kepada dua kali seminggu dengan kekerapan sebanyak empat kali pusingan bermula 5 hingga 16 Februari 2026.
Menurutnya, sampah pukal di tong komunal bagi penduduk kampung dan tong RORO di pasar awam dan kompleks makanan milik MBSP pula akan dikutip sebanyak dua kali sehari bermula 7 hingga 16 Februari 2026.


“Pusingan pertama kutipan sampah pukal di kawasan perumahan adalah pada 5 hingga 7 Februari diikuti pusingan kedua (8 hingga 10 Februari), pusingan ketiga (11 hingga 13 Februari) dan pusingan Keempat dari 14 hingga 16 Februari 2026.
“Sampah pukal di pusat pengumpulan sampah di kawasan jenis strata termasuk rumah pangsa, pangsapuri, kondominium turut ditingkatkan daripada seminggu sekali kepada dua kali sehari bermula 7 hingga 16 Februari 2026.
“Sampah domestik bagi tong komunal dan tong RORO di pasar awam dan kompleks makanan milik MBSP juga ditingkatkan daripada sehari sekali kepada dua kali sehari sekali pada 16 Februari 2026,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penuh Kali ke-619 (Bil.1/2026) dekat Menara Bandaraya MBSP di sini pagi tadi.
Baderul Amin berkata, perubahan jadual kutipan tersebut adalah selaras dengan dasar MBSP untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk Seberang Perai, terutamanya pada musim perayaan.
“Sehubungan itu, pihak MBSP menyeru kepada semua pihak di Seberang Perai agar dapat mengurangkan penjanaan sisa sampah, tidak membazirkan makanan serta mengamalkan kitar
semula semasa menyambut Perayaan Tahun Baharu Cina tahun ini,” serunya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MBSP