Melabur dalam pendidikan adalah pelaburan masa depan – KM

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

 

BUKIT TAMBUN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng merasmikan pembukaan Sekolah Antarabangsa GEMS Pulau Pinang (GEMS) di Bandar Tasek Mutiara dekat Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di sini baru-baru ini.

Katanya, pelaburan RM55 juta oleh GEMS dalam pembangunan sekolah tersebut sekaligus adalah (pelaburan) untuk generasi masa depan di negeri ini.

“Untuk memenangi masa depan, anda perlu melabur dalam masa depan, terutamanya golongan muda.

“Kerajaan Pulau Pinang berpegang kuat dengan satu kepercayaan bahawa pelaburan dalam pendidikan adalah bermakna melabur dalam masa depan,” ucapnya pada majlis perasmian tersebut di sini baru-baru ini.

Turut berucap, Ketua Pengarah Eksekutif merangkap Ahli Lembaga GEMS Education, Tom Collin dan Dino Varkey (Pengarah Eksekutif Kumpulan merangkap Ahli Lembaga GEMS Education).

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri II merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, Profesor Dr. P. Ramasamy, Dr. Afif Bahardin (Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan merangkap ADUN Seberang Jaya), Dato’ Maktar Shapee (Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang merangkap ADUN Sungai Bakap), Soon Lip Chee (ADUN Jawi) dan P. Kasthuriraani (Ahli Parlimen Batu Kawan).

Seperti GEMS Education, Guan Eng memberitahu, syarikat penjagaan kesihatan swasta antarabangsa terkenal, Hospital Columbia Asia dan gedung pasaraya IKEA pertama di Utara Semenanjung Malaysia turut melabur di kawasan ‘bandar satelit’ SPS, yang merangkumi lokasi segi tiga antara Batu Kawan, Cangkat dan Bukit Minyak, di sini.

“Di sini akan menjadi destinasi pelaburan yang penting untuk Pulau Pinang kerana pelabur seperti GEMS Education sendiripun memilih kawasan ini untuk pelaburan dalam bidang pendidikan mereka,” katanya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam.

Dalam pada itu, Varkey dalam ucapannya memberitahu bahawa sekolah seumpama di sini akan menyertai lebih 100 sekolah K12 di 19 negara, meliputi Timur Tengah, Amerika Utara, Eropah hingga ke Afrika dan Asia.

Rangkaian itu, jelas beliau, adalah terdiri daripada lebih 250,000 pelajar dari 151 negara, di bawah didikan lebih 20,000 tenaga pendidik profesional.

“Ini merupakan satu lembaran baru dalam sejarah Kumpulan GEMS Education, khususnya sejarah GEMS Education di Malaysia, kerana sekolah ini adalah pertama daripada sebilangan sekolah rendah dan menengah atau K-12 yang ditubuhkan di pusat bandar dan pinggir bandar di seluruh negara pada dekad yang akan datang,” ujarnya sambil merakamkan penghargaan atas komitmen Kerajaan Negeri.

Manakala, Collin pula dalam ucapannya berharap penubuhan sekolah antarabangsa tersebut mampu menyumbang kepada tarikan lebih ramai pengunjung dan pelabur ke negeri ini, khususnya di daerah SPS.

Difahamkan, sekolah antarabangsa GEMS Education pertama negara tersebut telahpun menerima hampir 200 pelajar meliputi peringkat tadika sehingga tahun sembilan di bawah bimbingan 28 pendidik profesional. Sekolah itu didirikan di atas tanah berkeluasan lapan ekar, berhampiran Pearl City Business Park dekat Bandar Tasik Mutiara, Simpang Empat di sini.

Pelbagai kelengkapan infrastruktur bertaraf antarabangsa di sekolah tersebut, antaranya, kemudahan ICT bersepadu, perpustakaan, teater kotak hitam, makmal sains, bilik muzik dan kesenian, studio tarian, dua dewan sukan, padang bola, gelanggang bola keranjang, gelanggang bola sepak lima sebelah dan dua kolam renang.

Selain itu, ruang pembelajaran dalaman dan luaran yang dirancang rapi di sekolah tersebut sekaligus membezakan kampus bertaraf antarabangsa itu dengan sekolahsekolah lain di negeri ini.

Maklum balas lanjut mengenai GEMS, layari laman web, www. gemsinternatinalschool-pearl.com.document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);