Mesti dapat satu dos vaksin sebelum niaga pasar malam 15 September – Datuk Bandar MBPP

AR. Yew Tung Seang semasa mempengerusikan Majlis Mesyuarat Biasa MBPP secara hibrid pada pagi tadi.

GEORGE TOWN – Mulai 30 Ogos 2021, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dengan kerjasama agensi berkaitan akan menganjurkan program pemberian vaksin COVID-19 selama empat hari khusus kepada golongan penjaja pasar malam, peniaga kecil serta pekerja dan pemilik restoran di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Mengulas lanjut, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang berharap agar mereka yang berkenaan segera mendaftarkan diri melalui Bahagian Pelesenan PBT berkenaan bagi mendapatkan sekurang-kurangnya satu suntikan vaksin.

“Walaupun MKN (Majlis Keselamatan Negara) membenarkan operasi pasar malam tertakluk kepada SOP (prosedur operasi standard) berkaitan, selepas program pemberian vaksin bermula pada 30 Ogos hingga 5 September 2021, kami (MBPP) jangka peniaga pasar malam yang mahu memulakan operasi mereka hendaklah sekurang-kurangnya dapat satu dos vaksin,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Biasa Majlis MBPP Bilangan 08 Tahun 2021 yang dilangsungkan secara telesidang pada 26 Oktober 2021.

Menurutnya lagi, MBPP menjangkakan operasi pasar malam di bahagian pulau dengan pematuhan SOP berkaitan secara ketat bermula 15 September ini.

Bercakap pada sidang media yang sama, Pengarah Bahagian Pelesesan, Rashidah Jalaludin memberitahu bahawa program vaksinasi tersebut akan membawa faedah berantai kepada lebih 800 individu yang terlibat di 38 tapak pasar malam di sekitar bahagian pulau.

Dalam perkembangan berkaitan, Tung Seang turut mengingatkan semua pihak bahawa pembukaan semula sektor ekonomi secara berperingkat di bahagian pulau buka ‘lesen’ untuk masing-masing mengabaikan aspek pematuhan SOP berkaitan.

“Jadi, kita (MBPP) hendak tekankan di sini bahawa semua pihak perlu ambil perhatian yang serius dan lebih bertanggungjawab dengan menjaga jaga diri sendiri sebagai peniaga dan memastikan keselamatan semua pelanggan.

“Sementara kami (MBPP) bersama-sama PDRM (Polis Diraja Malaysia) akan lebih tegas untuk menjalankan penguatkuasaan terhadap pematuhan (SOP) yang perlu dipatuhi,” tegas beliau lagi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING