Mohd. Sayuthi angkat sumpah sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri

GEORGE TOWN – Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang baharu, Datuk Mohd. Sayuthi Bakar secara rasminya mengangkat sumpah memegang jawatan tersebut pada pagi ini di Pejabat Ketua Menteri.

 

 

Majlis angkat sumpah tersebut disempurnakan di hadapan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dan barisan kepimpinan Exco.

 

 

Sebelum itu, Mohd. Sayuthi yang telah mejalankan tugas sejak kelmarin mengadakan kunjungan hormat terhadap Kon Yeow di pejabatnya di sini. Antara isu yang dibincangkan adalah pembangunan negeri Pulau Pinang selain daripada bantuan Kerajaan Pusat kepada negeri ini.

 

 

“Putrajaya sering menganggap Pulau Pinang sebagai sebuah negeri maju dan kurang perlu untuk dibantu berbanding negeri-negeri lain, hakikatnya kita masih berdepan dengan kekangan projek infrastruktur.

 

 

“Seharusnya, Putrajaya juga melihat sumbangan Pulau Pinang khususnya melalui Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan membuat pulangan melalui bantuan sewajarnya,” ujar Kon Yeow berkongsi pandangannya pada sesi berkaitan.

 

 

Mohd. Sayuthi dalam pada itu memberitahu bahawa beliau akan menyesuaikan diri secepat mungkin serta memperhalusi pentadbiran dalam struktur kepimpinan negeri untuk bergerak seiring Visi Penang2030 yang digagaskan Kon Yeow.

 

 

Sebelum ini, Mohd. Sayuthi pernah bertugas di Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan); Timbalan Pengarah Imigresen; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan beberapa jawatan tinggi dalam organisasi kerajaan peringkat Pusat mahupun negeri.

 

 

Selamat menjalankan tugas!

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar: MUHAMAD ADIL MUHAMAD