Mohon peruntukan tahunan Kerajaan Negeri untuk tubuh MakerLab di sekolah boleh dipertimbangkan

Admin

SERI DELIMA – Pihak sekolah yang berhasrat menubuhkan MakerLab sebagaimana di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jambul boleh memohon peruntukan tahunan sedia ada berkaitan pendidikan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang untuk dipertimbangkan kelulusan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa cadangan itu mungkin akan mempercepatkan hasrat agensi negeri, Kluster Sains Pulau Pinang (PSC) untuk membantu kerja penubuhan MakerLab pada peringkat sekolah, yang sebelum ini hanya membabitkan kutipan dana oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh syarikat-syarikat swasta sahaja.

“Biasanya sekolah akan senaraikan apa yang mereka perlukan iaitu peruntukan untuk naik taraf, membaiki kemudahan dan sebagainya.

“Mungkin untuk menyahut program MakerLab ini, kita (Kerajaan Negeri) akan cadangkan sama ada bagi peruntukan (pendidikan tahunan) itu, sebahagiannya untuk tubuh MakerLab di sekolah berkenaan,” responsnya kepada pemberita selepas berucap dalam Majlis Perasmian MakerLab dan Sambutan Ulang Tahun Ke-10 (2009-2010) Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Jepun di ‘Sekolah Kluster’ SMK Bukit Jambul di sini pada 11 Julai 2019.

Menurut Kon Yeow, Kerajaan Negeri berharap lebih banyak industri swasta tampil membantu Kerajaan Negeri dan PSC dalam menubuhkan lebih banyak MakerLab di sekolah, dengan melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Saya yakin dan percaya perkara ini bukanlah mustahil untuk direalisasikan memandangkan di Pulau Pinang, sememangnya sudah wujud sinergi serta kerjasama erat antara para pemain industri yang saya pasti bersedia untuk menawarkan kepakaran mereka,” jelasnya.

Sebelum itu, turut berucap Yang di-Pertua PIBG sekolah berkaitan, Rosli Abu serta Pengetua SMK Bukit Jambul, Abdul Said Hussain.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad; Pengarah Pendidikan Daerah Timur Laut, Azizah Paijo; Pengarah PSC, Dato’ Yoon Chon Leong; Pengetua Penang Japanese School, Sato Toshiyuki; dan Pengarah Komersil Bosch Power Tools, Sandra Donneau.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa penubuhan MakerLab di SMK Bukit Jambul adalah yang kelima di negeri ini, dengan kumpulan dana sokongan PIBG kira-kira RM25,000.

Beliau dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada Donneau atas sumbangan 20 set Bosch Power Tools bagi menyokong penubuhan 20 MakerLab peringkat sekolah termasuk projek sulung di SMK Bukit Jambul.

MakerLab adalah makmal yang dilengkapi dengan pelbagai perisian, perkakasan dan bahan pembelajaran yang terkini bagi membolehkan proses pembelajaran di sekolah berkaitan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) bertaraf pendidikan dunia abad Ke-21.

Melalui MakerLab ini, Kerajaan Negeri berharap PSC dapat menggalakkan lagi penerapan elemen STEM atau Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik dalam kalangan pelajar-pelajar di negeri ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : CHAN KOK KUAN & ALVIE CHENG