MP Tanjong salur peruntukan hampir RM100,000 naik taraf fasiliti SK Tan Sri P. Ramlee

Admin

KOMTAR  – Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying menyalurkan sejumlah RM98,854 daripada peruntukan Projek Mesra Rakyat (PMR) kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Tan Sri P. Ramlee untuk projek menaik taraf fasiliti sekolah berkenaan.

Daripada jumlah itu katanya, sebanyak RM73,000 disalurkan bagi tujuan menaik taraf gelanggang Murid Berkeperluan Khas.

“Selain itu, sebanyak RM19,404 akan digunakan untuk menaik taraf enam bilik Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dengan peralatan elektronik seperti Smart TV dan penghawa dingin manakala RM6,450 lagi adalah bagi penggantian perabot di pejabat sekolah.

 

“Justeru, saya berharap peruntukan yang disalurkan ini dapat memberi nilai tambah kepada fasiliti di sekolah ini dan semoga semuanya memberi manfaat kepada seluruh warga sekolah,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Anjung Ketipang Payung dekat SK Tan Sri P. Ramlee di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; ADUN Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Alan Lim Wei Lun dan Benji Ang Ming Quan.

Pegawai Pendidikan Daerah Timur Laut, Mohd. Zawawi Ahmad; Penolong PPD Sektor Pengurusan Sekolah, Wong Sze Cheak; Guru Besar SK Tan Sri P.Ramlee, Nor Rizah Abd Rahim; Yang Dipertua PIBG SK Tan Sri P.Ramlee, Sariman Mohd.  Esahak serta Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Jawa, Tan Chee Khuan juga turut hadir.

Mengulas perkara berkaitan, Hui Ying yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa cakna mengenai isu fasiliti di sekolah-sekolah termasuklah keperluan mendesak yang memerlukan tindakan segera.

“KPM memberi perhatian terhadap isu-isu ini demi memastikan pelajar dapat belajar dalam suasana yang kondusif terutamanya bagi Murid Berkeperluan Khas (MBK) sekali gus memberi semangat kepada mereka untuk tekun dalam pembelajaran,” ujarnya.

Sementara itu, Lai Heng yang turut berucap sebelum itu memuji inisiatif pihak SK Tan Sri P. Ramlee mewujudkan Anjung Ketipang Payung pihak sekolah yang sinonim dengan karya-karya seniman agung itu.

“Walaupun allahyarham P. Ramlee telah meninggalkan kita, namun karyanya masih ada dengan kita sambil membawa semula memori lama.

“Saya percaya sebagai seorang rakyat Malaysia yang baik, kita semua patut berasa bangga kerana sejarah ini masih diingati sekaligus dapat menyatupadukan seluruh rakyat yang berbilang kaum serta menjamin keamanan dan kedaulatan negara Malaysia yang kita cintai,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : ALISSALA THIAN