MPSP lupus dokumen PRU14 Parlimen Bagan

SEBERANG JAYA – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) semalam menjalankan kerja pelupusan dokumen berkaitan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi Parlimen Bagan.

Yang di-Pertuanya, Dato’ Sr. Rozali dalam kenyataan berkata, beliau selaku Pegawai Pengurus Parlimen berkenaan telah menerima surat bertarikh 18 Julai 2018 yang membenarkan pihaknya memusnahkan semua kertas undi dan dokumen berkaitan PRU14.

“Pelupusan dokumen ini adalah selaras dengan Peraturan 25E, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981.

“Kesemua dokumen-dokumen ini disimpan di dalam Peti-Peti Khas dan mengikut tatacara proses pelupusan dokumen pilihan raya iaitu hendaklah dimusnahkan selepas 21 hari dari tarikh keputusan pilihan raya diwartakan sekiranya tiada apa-apa petisyen pilihan raya diterima,” jelasnya.

Dokumen-dokumen berkaitan PRU14 dimasukkan di dalam lubang khas sebelum dibakar.

Hadir menyaksikan kerja pelupusan itu ialah wakil Pejabat Pilihan Raya Negeri, polis Daerah Seberang Perai Utara, wakil Jabatan dan Agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri yang terlibat, serta kakitangan MPSP.

Kerja-kerja pelupusan tersebut dijalankan melalui kaedah pembakaran terbuka di dalam sebuah lubang yang digali khas oleh petugas MPSP untuk memastikan dokumen-dokumen berkenaan dimusnahkan dengan sempurna.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD