Muafakat dan komitmen julang MPKK Kampung Melayu sebagai MPKK Terbaik DTL

Admin

GEORGE TOWN – Permuafakatan dan komitmen tidak berbelah bahagi yang dipupuk dalam kalangan ahli-ahli jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) menjadi kunci kejayaan MPKK Kampung Melayu apabila dinobatkan sebagai MPKK Terbaik 2020 bagi daerah Timur Laut (DTL).

 

Pengerusi MPKK Kampung Melayu, Abdul Aziz Buhari ketika ditemui berkata, kejayaan merangkul Anugerah MPKK Terbaik 2020 bukanlah kejayaan individu, sebaliknya hasil usaha semua pihak.

 

“Saya percaya kunci kejayaan kami ini adalah hasil permuafakatan yang dipupuk dalam kalangan kami dan komitmen yang tidak berbelah bahagi semasa melaksanakan amanah dan tanggungjawab terhadap anggota masyarakat.

 

“Masyarakat sentiasa menjadi keutamaan kami, yang mana pihak kami sedaya upaya membantu memajukan aktiviti pembangunan dan kebajikan masyarakat di peringkat kampung.

 

“Bukan itu sahaja, adakala hasil pendapatan yang kami peroleh, kami akan pulangkan semula kepada masyarakat melalui pemberian bantuan dan sebagainya.

 

“(Dan) secara tidak langsung, masyarakat pun akan suka dengan kerja buat kita serta memudahkan kerjasama dalam memastikan segala perancangan dilaksanakan dengan jayanya,” ujarnya sejurus Majlis Anugerah MPKK Terbaik 2020 Daerah Timur Laut dekat Komtar pagi ini.

 

Selaku johan, MPKK Kampung Melayu membawa pulang piala pusingan berserta wang tunai RM3,000 dan sijil pengiktirafan.

MPKK Lebuh Chulia dan MPKK Desa Permata pula masing-masing dinobatkan sebagai Naib Johan dan pemenang tempat ketiga.

 

Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga merupakan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Industri dan Perhubungan Masyarakat hadir menyempurnakan majlis berkaitan.

 

Ahmad Zakiyuddin dalam ucaptamanya memberitahu bahawa anugerah MPKK ini diadakan sebagai pengiktirafan Kerajaan Negeri terhadap usaha yang ditunjukkan di peringkat komuniti.

 

“Kerajaan Negeri sentiasa menghargai dan memberi pengiktirafan kepada ‘barisan hadapan’ ini terutama ketika kita berdepan dengan pandamik COVID-19 sejak Mac 2020.

 

“Malah, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM1.8 juta sebagai insentif kepada semua MPKK yang terlibat secara langsung di lapangan yang mana insentif RM300 diberikan.

 

“Semua ini merupakan penghargaan dan pengiktirafan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” katanya dalam majlis berkaitan.

 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lancang, Ong Ah Teong; ADUN Sungai Pinang Lim Siew Khim; ADUN Komtar, Teh Lai Heng dan Pegawai Daerah bagi DTL, Rosli Halim.

 

Sementara itu, Buletin Mutiara sempat menemu bual ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang yang turut hadir memberi semangat dan meraikan kemenangan MPKK Kampung Melayu pada majlis tersebut.

 

Menurut Soon Siang, beliau kagum melihat kesungguhan dan pencapaian MPKK Kampung Melayu setakat ini.

 

“Misalnya dalam projek jangka panjang iaitu Mutiara Food Bank, mereka (ahli jawatankuasa MPKK) akan berusaha menyalurkan barangan keperluan bukan sahaja kepada penduduk setempat bahkan juga dari luar yang menerima manfaat.

 

“Saya akui, MPKK Kampung Melayu merupakan antara organisasi yang aktif dari segi kutipan sewa pasar malam dan pasar pagi di sini.

 

“(Dan) menggunakan pendapatan yang diperoleh untuk membantu penduduk di Kampung Melayu yang memerlukan terutamanya kelompok B40.

 

“Tahniah, teruskan usaha,” zahir Soon Siang teruja.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD