Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
BERTAM – Zakat Pulau Pinang (ZPP) akan terus membantu Kerajaan Negeri merapatkan jurang sosial antara golongan kaya dan kurang mampu di Pulau Pinang, dengan memastikan sistem agihan dana zakat sampai kepada semua golongan asnaf berwajib.
Timbalan Yang di – Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dato’ Abdul Halim Hussain berkata demikian dalam Majlis Penyampaian Saguhati Guru Agama & Al-Quran 2016 baru-baru ini.
“Tiap – tiap kita mempunyai tanggungjawab pada umat Islam yang lain dari segi agama dan wang ringgit duniawi.
“Maka, syariat zakat ini juga membawa maksud yang sama, mampu merapatkan jurang antara yang kaya dan (golongan asnaf seperti) miskin, fakir, amil (pengurus zakat), mualaf (saudara baru), riqab (seseorang yang terbelenggu tanpa kebebasan),
gharimin (penghutang muslim), fisabillillah (orang yang berjuang kerana Allah) serta ibnus sabil (musafir),” ujarnya dalam majlis baru-baru ini.
Hadir sama, Pengurus Besar ZPP, Azman Abdul Somat dan Ahli Lembaga Pengarahnya, Datuk Mustafa Kamal Yusof.
Pada majlis itu, Abdul Halim memberitahu, seramai 1,807 Guru Al- Quran menerima wang saguhati sejumlah RM1,678,800 atau RM600 seorang.
“Sumbangan tersebut turut membabitkan 991 guru agama, dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM594,600,” jelasnya.