GEORGE TOWN – Cawangan Muzium dan Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang di No. 57, Jalan Macalister, di sini, dibuka semula kepada orang ramai dengan menawarkan kemasukan percuma sehingga 30 November 2026, sekali gus memberi peluang kepada pengunjung menghayati khazanah warisan dan seni negeri tanpa sebarang bayaran.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, pembukaan semula premis bersejarah itu bukan sahaja menyediakan ruang pameran yang lebih menarik, malah mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan sejarah terus dihargai, seni berkembang dan warisan Pulau Pinang diwariskan kepada generasi akan datang.
Menurutnya, bangunan yang pernah menempatkan Hospital Memorial King Edward VII itu mempunyai nilai sejarah tersendiri apabila dirasmikan sebagai hospital bersalin pada 13 September 1915.
“Pembukaan semula cawangan ini merupakan langkah bermakna dalam memelihara warisan sejarah, mengangkat seni visual dan mendekatkan khazanah negeri kepada masyarakat, khususnya komuniti setempat.
“Usaha ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan sejarah terus dihargai, seni terus berkembang dan warisan Pulau Pinang diwariskan kepada generasi akan datang,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pembukaan Semula Cawangan Muzium dan Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang serta Pameran Penang Art Open 2025 di sini, sebentar tadi.
Hadir sama, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif merangkap Pengerusi Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang, Wong Hon Wai; Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN); Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Zairi Mat Ali; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Mohamed Abdul Rahman; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran; Pengarah Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang, Haryany Mohamad; serta barisan Ahli Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang.


Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, cawangan berkenaan dibuka semula selepas ditutup selama kira-kira enam tahun bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan, termasuk pada bumbung, pendawaian elektrik dan pengecatan bangunan, dilaksanakan.
Jelasnya, penambahbaikan itu turut merangkumi pembinaan Galeri Automotif di dalam kawasan kompaun berkenaan, sekali gus memperluas ruang pameran dan memperkaya pengalaman pengunjung.
“Saya percaya galeri ini mempunyai keistimewaan tersendiri berbanding galeri lain dan sememangnya memberikan pengalaman baharu kepada pengunjung untuk mengenali sejarah pengangkutan di Pulau Pinang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu bahawa Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang turut ditempatkan di premis berkenaan buat sementara waktu sepanjang kerja-kerja naik taraf Dewan Sri Pinang yang dijangka bermula pada awal 2027.
“Langkah ini adalah untuk memastikan aktiviti dan pameran seni visual di negeri ini dapat diteruskan tanpa menjejaskan usaha menaik taraf kemudahan sedia ada,” katanya lagi.
Tambah Kon Yeow, tahun 2026 menyaksikan beberapa perkembangan penting dalam usaha memelihara warisan negeri, termasuk pembukaan Galeri Automotif pada 3 Februari lalu serta pembukaan semula Muzium Negeri Pulau Pinang di Lebuh Farquhar pada 23 Julai lalu selepas ditutup selama sembilan tahun bagi kerja-kerja restorasi dan konservasi menyeluruh.
Menurutnya, pembukaan semula cawangan di Jalan Macalister melengkapkan usaha tersebut dengan menghimpunkan elemen warisan sejarah dan seni visual dalam satu ruang yang dapat dimanfaatkan oleh pelbagai lapisan masyarakat.


Ketika mengulas peranan institusi muzium dalam masyarakat, Kon Yeow menegaskan bahawa muzium bukan sekadar tempat menyimpan artifak lama, sebaliknya berfungsi sebagai ruang pembelajaran, penyelidikan dan perkongsian ilmu yang menghubungkan generasi terdahulu dengan generasi masa kini.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan orang ramai memanfaatkan kemudahan berkenaan bukan sekadar untuk melihat bangunan dan karya seni yang dipamerkan, tetapi turut menghayati kisah serta nilai sejarah di sebaliknya.
“Jadi, apabila berkunjung ke sini nanti, janganlah sekadar melihat bangunan dan karya yang dipamerkan tetapi hayati juga kisah di sebaliknya.
“Mudah-mudahan, kita pulang bukan sahaja dengan gambar untuk media sosial, tetapi juga dengan pengetahuan dan penghargaan yang lebih mendalam terhadap sejarah negeri kita,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow memaklumkan bahawa usaha memelihara dan memperkenal warisan negeri turut menyokong sektor pelancongan Pulau Pinang, khususnya sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan tahun-tahun seterusnya.
Beliau berkata, Pulau Pinang merekodkan sebanyak 967,742 tetamu hotel antarabangsa pada suku pertama 2026, sekali gus menduduki tempat ketiga tertinggi di Malaysia.
Sementara itu, katanya lagi, pergerakan penumpang antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang turut meningkat sebanyak 11.1 peratus kepada 2.65 juta bagi tempoh Januari hingga Julai 2026.
Mengulas pengiktirafan antarabangsa terhadap destinasi pelancongan negeri, beliau turut menyentuh pemilihan Pulau Pinang oleh National Geographic sebagai satu daripada 25 tempat yang perlu dilawati pada 2027 membuktikan bahawa usaha Kerajaan Negeri memperkukuh sektor pelancongan dan memelihara keunikan negeri semakin membuahkan hasil.
“Pengiktirafan ini akan membantu meningkatkan nama dan imej Pulau Pinang di persada dunia sebagai destinasi pelancongan yang bukan sahaja menawarkan tarikan semula jadi dan buatan manusia, tetapi juga warisan, seni, budaya serta makanan yang menjadi kegemaran pelancong antarabangsa,” katanya.


Sementara itu, beliau berkata bahawa penganjuran Penang Art Open 2025 yang bertemakan Future Ecologies turut mengangkat peranan seni sebagai medium untuk menyemai kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar dan pembangunan mampan.
“Tahniah diucapkan kepada Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang, para kurator, penggiat seni, rakan strategik dan semua pihak yang telah menjayakan pembukaan semula cawangan ini serta penganjuran Penang Art Open 2025.
“Saya berharap agar bangunan bersejarah ini akan terus menjadi ruang ilmu, inspirasi dan kreativiti kepada masyarakat, selain memastikan karya seni yang dipamerkan terus menyemarakkan pemikiran serta memupuk penghargaan terhadap warisan negeri,” katanya.
Bercakap mengenai bayaran tiket masuk, Hon Wai memberitahu bahawa ia akan mula dikuatkuasakan pada 1 Disember 2026, dengan kadar yang sama seperti Muzium Negeri Pulau Pinang di Lebuh Farquhar.
Menurutnya, pelaksanaan bayaran tiket itu merupakan sebahagian daripada usaha memastikan pengurusan dan penyelenggaraan premis dapat dilaksanakan secara berterusan, selain menyokong pemeliharaan koleksi serta penambahbaikan kemudahan dan pengalaman pengunjung.

Kadar bayaran masuk adalah seperti berikut:
> Kanak-kanak warganegara Malaysia berumur 5 hingga 12 tahun (pemegang MyKid): RM3.
> Dewasa warganegara Malaysia (pemegang MyKad): RM5.
> Kanak-kanak bukan warganegara Malaysia berumur 5 hingga 12 tahun: RM10.
> Dewasa bukan warganegara Malaysia: RM25.
> Warganegara Malaysia kategori Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas berumur 60 tahun dan ke atas: RM3.
> Bukan warganegara Malaysia kategori OKU dan warga emas berumur 60 tahun dan ke atas: RM10.
Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: MUHAMMAD IQBAL HAMDAN
Video: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS