Naik taraf bumbung Kompleks Makanan Padang Brown bernilai RM389,195 siap 90 peratus

Admin
20240307 092145

GEORGE TOWN – Kerja-kerja menaik taraf bumbung Kompleks Makanan Padang Brown sudah mencapai status 90 peratus siap.

 

 

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng, baki kerja-kerja melibatkan pendawaian dijangka siap minggu hadapan.

 

 

“Projek bernilai RM389,195 ini bertujuan menyediakan tempat makan yang lebih selesa kepada pengunjung Kompleks Makanan Padang Brown daripada cuaca panas dan hujan.

 

 

“Ini selepas mendapat maklum balas dan permintaan para peniaga ketika Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow melawat kawasan ini sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN Ke-15) tahun lalu,” ujar Lai Heng pada sesi lawatan tapak ke Kompleks Makanan Padang Brown di sini semalam.

 

dsc 4921

 

Turut hadir, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Benjy Ang Ming Quan dan wakil kontraktor.

 

Terkini kerja-kerja elektrik giat dijalankan di bahagian makanan tidak halal, manakala di bahagian halal akan dimulakan apabila bulan Ramadan kerana para peniaga akan bercuti.

 

 

“Mengenai pemasangan saliran air pada bumbung, perkara itu akan diputuskan kemudian oleh MBPP sekiranya dilihat perlu.

 

 

“Saya harap naik taraf ini akan menjadikan tempat ini lebih selesa walaupun pada hari yang ramai pengunjung dan meja makan tidak lagi diletakkan di atas rumput,” kata Lai Heng lagi.

 

 

Ming Quan dalam pada itu merayu agar pengunjung kompleks makanan tersebut tidak meletakkan kereta di bahu jalan kerana akan menimbulkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

 

 

“Di sini parkir menukupi, sekiranya ramai, pengujung masih boleh letak kenderaan di kawasan parkir berhampiran, jangan letak di bahu jalan sebab di situ menimbulkan blind spot, bahaya kepada orang ramai,” tegasnya.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD