Naiktaraf jejantas ‘sotong’ jangka siap November

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : SHUM JIAN WEI

 

GEORGE TOWN– Kerja-kerja projek menaiktaraf jejantas pejalan kaki atau lebih dikenali sebagai jejantas ‘sotong’ yang terletak di persimpangan Jalan Penang, Jalan Burma dan Jalan Dr. Lim Chwee Leong dijangka siap November ini.

Perkara tersebut diumumkan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng pada Majlis Perasmian Projek Menaiktaraf Jejantas Pejalan Kaki di Komtar Walk di sini baru-baru ini.

Jelas beliau, demi melonjakkan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri bertaraf antarabangsa, Kerajaan Negeri bersedia menyediakan pelbagai kemudahan awam yang bukan sahaja mesra alam, malah mesra pengguna dan berteknologi tinggi.

“Selain pemasangan lif kaca telus dan tangga bergerak (escalator), pihak pemaju berkaitan juga akan menambah pencahayaan ( lampu ) demi keselamatan pengguna termasuk lain-lain penyelenggaraan dengan menitik beratkan aspek keselamatan pengguna terutama orang kurang upaya (OKU) dan warga emas,” katanya di sini.

Hadir sama, Yang di-Pertua MPPP, Dato’ Patahiyah Ismail, Exco Kerja Raya, Utiliti (Tenaga, Air & Telekom) dan Pengangkutan (Udara, Laut & Keretapi), Lim Hock Seng, Pengarah Eksekutif Syarikat Ensignia Construction Sdn. Bhd. (Ensignia), Lim Gik Chay dan arkitek IGB Corporation Berhad, David Tan. Ahli Parlimen Tanjung, Ng Wei Aik; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng dan Ahli-ahli Majlis MPPP turut serta dalam majlis tersebut.

Guan Eng memberitahu, bagi pihak Kerajaan Negeri, beliau berterima kasih kepada pihak pemaju, Ensignia iaitu anak syarikat IGB Corporation Berhad kerana sudi menaja kerja-kerja menaiktaraf yang berjumlah RM6 juta sebagai sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat terbabit.

“Bagi membolehkan Ensignia memperoleh semula sebahagian kos, pengiklanan atas jejantas selama 25 tahun telah diberikan dan ia tertakluk kepada termaterma dan syarat MPPP (Majlis Perbandaran Pulau  Pinang ) berhubung hal berkaitan.

“Antaranya, sumbangan lima peratus pendapatan pengiklanan kepada MPPP dan 20 peratus daripada ruangan iklan dikhaskan untuk penerangan kerajaan.

“ Ini termasuk kos penyelenggaraan lif dan tangga bergerak selama 25 tahun yang ditanggung oleh Ensignia,” ujar beliau.

Jejantas pejalan kaki tersebut dibina pada tahun 1993 dengan kos sebanyak RM1.25 juta.

Pada tahun 2013, Kerajaan Negeri pernah berhasrat untuk meruntuhkan jejantas tersebut memandangkan wujudnya beberapa kes jenayah.

Namun, hasil maklum balas yang dijalankan pada 14 Mei hingga 14 Jun 2013, 70 peratus responden tidak bersetuju dengan cadangan untuk merobohkan jejantas unik berkenaan.

Hasilnya, Kerajaan Negeri mengekalkan jejantas tersebut dengan menaiktaraf jambatan berusia 20 tahun itu.document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);