Normal Baharu MBSP sedia enam pakej niaga buah-buahan bermusim bagi B40

Admin

SEBERANG JAYA – Bermula 15 Jun 2020, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) melancarkan enam pakej khusus bagi membantu penjaja tepi jalan dan peniaga kecil dalam golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud memberitahu bahawa pakej pertama adalah pembukaan 25 tapak penjajaan buah-buahan bermusim seperti durian, rambutan dan manggis meliputi ketiga-tiga daerah dekat Seberang Perai.

“Pakej kedua, mereka juga boleh berniaga (buah-buahan bermusim) dalam kampung atau di tepi jalan dalam kampung.

“Pakej ketiga, mereka boleh berniaga (buah-buahan bermusim) dalam kedai tanpa perlu mendapatkan lesen (premis perniagaan), (dengan syarat) mendapat kebenaran pemilik restoran atau premis,” jelas beliau dalam telesidang Bicara Prisma terbitan MUTIARAfm TV1 Pulau Pinang, bersama-sama DJ Azie, pagi tadi.

Bagi pakej keempat pula menurut Rozali, mereka juga boleh berniaga dalam mana-mana premis MBSP yang kosong dekat pasar-pasar awam tanpa terlebih dahulu melalui sesi temuduga berwajib.

“Seterusnya, (pakej kelima) adalah mereka boleh mencadangkan tempat yang dirasakan sesuai untuk mereka berniaga, jika boleh, kita (MBSP) akan memberi kebenaran berniaga.

“(Pakej keenam), kita (MBSP) akan memperbanyak ruang perbincangan (kepada penjaja tepi jalan dan peniaga kecil), tetapi dengan syarat mesti memohon.

“Kalau mereka tidak memohon, kita (MBSP) tidak boleh mengenakan peraturan atau SOP (prosedur operasi standard), dan mereka pun tak tahu apa itu SOP ketika PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan sehingga 31 Ogos 2020),” jelasnya.

Semalam, Rozali mengiringi Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow melancarkan Kaunter Siber (Cyber Counter) yang menawarkan 100 jenis perkhidmatan secara dalam talian iaitu satu lagi program di bawah Normal Baharu MBSP.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB