P. Pinang tawar model CAT atasi MAS rugi RM2.52 bilion

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) wajar ditawarkan model bisnes baru berasaskan prinsip ‘Cekap, Akauntabel dan Telus’ (CAT) sebagaimana yang diamalkan dalam urus tadbir Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Ahli Parlimen Bagan, Tuan Lim Guan Eng berkata demikian baru-baru ini sebagai reaksi pada kerugian mengejutkan sebanyak RM2.52 bilion yang dialami oleh syarikat penerbangan nasional itu.

Beliau berkata, amalan CAT terbukti melonjak Pulau Pinang sebagai negeri paling tinggi menerima pelaburan asing langsung (FDI) pada tahun 2010, iaitu sebanyak RM12.2 bilion.

“Urus tadbir yang ‘Cekap, Telus dan Amanah’ (CAT) bukan sahaja meyakinkan pelabur untuk datang ke negeri ini, malam menguntungkan rakyat,” ujarnya pada satu kenyataan di Kuala Lumpur.

Selain itu, beliau menyatakan bahawa amalan CAT juga telah melonjak Pulau Pinang sebagai destinasi pelaburan pembuatan terbaik selama dua tahun berturut-turut di negara ini, iaitu pada tahun 2010 dan 2011.

“Amalan CAT turut meletakkan Pulau Pinang mencatatkan lebihan bajet setiap tahun sejak 2008, selain berjaya mengurangkan hutang Kerajaan Negeri sebanyak 95 peratus atau RM600 juta menjadi RM30 juta sahaja.

“Berbeza dengan MAS, prestasi syarikat penerbangan kebangsaan itu mula menjunam sejak tahun 2009, iaitu ketika Datuk Seri Idris Jala melepaskan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dalam syarikat itu bagi dilantik ke jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM),’’ ujar Guan Eng.

Jelasnya, keuntungan bersih MAS bagi tahun 2009 dan 2010 masing-masing sebanyak RM490 juta dan RM234 juta sebelum didedah rugi sebanyak RM2.52 bilion pada tahun lepas.

“Ketika Idris dilantik sebagai CEO pada tahun 2005, keuntungan MAS dicatatkan sebanyak RM850 juta berbanding kerugian RM1.3 bilion dalam masa dua tahun sebelum itu.

“Simpanan tunai MAS pula didedah RM1 bilion pada akhir tahun lepas sungguhpun pada tahun 2010, syarikat penerbangan nasipnal itu mempunyai simpanan tunai sebanyak RM2.1 bilion.

“Aset bersih MAS turut menguncup dari RM3.5 bilion kepada RM1.1 bilion dalam tempoh tersebut,’’ jelasnya.

Melihat rekod buruk MAS itu, Guan Eng berkata, pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak wajar berdalih kononnya kerugian yang dialami MAS itu berpunca oleh senario ekonomi global yang kononnya tidak sihat.

Ini kerana katanya, Singapura Airlines masih mencatatkan keuntungan untuk tahun lepas ketika MAS mengalami kerugian sebanyak RM2.52 bilion.

Tambahnya lagi, Air Asia sendiri mengalahkan MAS dari segi segi pemodalan pasaran sungguhpun syarikat itu adalah syarikat penerbangan tambang murah yang kecil.

“Permodalan pasaran Air Asia sebanyak RM10.1 bilion berbanding MAS, iaitu sebanyak RM4.8 bilion sahaja.

“Mengapa syarikat penerbangan bajet yang mengenakan caj yang lebih rendah boleh berjaya dan untung berbanding syarikat penerbangan kebangsaan yang mengenakan caj tinggi,” soal beliau.