Parit monsun Taman Bagan harap kurang risiko banjir

Teks & Gambar: ZAINULFAQAR YAACOB

BAGAN DALAM – Lebih 2,000 keluarga khususnya di sekitar Taman Bagan dan Taman Cantik akan mendapat manfaat daripada pemajuan pintu air parit monsun bernilai RM354,000, yang siap dan beroperasi baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, projek berimpak tinggi tersebut diharap mampu mengurangkan lagi risiko banjir, terutama semasa air sungai pasang atau hujan lebat berpanjangan di sini kelak.

“Projek berimpak tinggi ini diharap akan mengurangkan lagi risiko banjir di sini, dan yang lebih penting ia akan memberi manfaat kepada lebih 2,000 keluarga,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti merangkap ADUN Bagan Jermal, Lim Hock Seng, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, A. Thanasekaran, Setiausaha Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Sr. Rozali Mohamud dan Micheal Tan Cheong Heng (Ahli Majlis MPSP) turut menyertai Majlis Perasmian Projek Membina Pintu Air Di Parit Monsun Taman Bagan, Butterworth di sini baru-baru ini.

Difahamkan, projek yang dilaksanakan selama 24 minggu mulai 18 November tahun lalu dan siap pada 15 Jun tahun ini dimajukan oleh kontraktor MSA Venture serta perunding JPNS Sdn. Bhd.

Sebanyak RM354,000 daripada peruntukan Wang Caruman Perparitan itu diluluskan untuk membiayai kerja-kerja piling, pembinaan pintu air, ‘roadworks’ dan ‘miscellaneous’.

Tambah Guan Eng, beberapa lagi projek berimpak seumpama itu turut dirancang di bahagian Seberang Perai dan pulau, demi menangani risiko bencana banjir di negeri ini.}