Pasukan floorball negeri juara peringkat kebangsaan

BATU UBAN – Pasukan floorball lelaki dan wanita Pulau Pinang jelas terlalu unggul untuk ditandingi apabila keduadua pasukan tersebut muncul johan pada Kejohanan Floorball Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Sabah pada 4 hingga 6 September baru-baru ini.

Kejayaan tersebut turut diserikan dengan pengiktirafan Anugerah Penjaring Terbanyak (Lelaki) kepada pemain Pulau Pinang, Chiam Ter Min dengan jumlah jaringan sembilan gol keseluruhan.

Anugerah Pembantu Jaringan Terbanyak (Lelaki) turut dimenangi pemain negeri, Loh JoWyee dan Ang Ling Ling (Anugerah Pembantu Jaringan Terbanyak, Wanita).

Pengurus Pasukan, Khor Kwan Yang menzahirkan rasa bangga dengan kejuaraan yang dirangkul pasukan beliau.

“Kemenangan ini adalah kejuaraan ketiga berturut-turut bagi pasukan lelaki dalam kejohanan yang sama. Bagi pasukan wanita, setelah dua kali muncul sebagai naib johan, kini mereka (pasukan wanita) mengikut jejak langkah sama.

“Justeru, kami juga ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak terutamanya Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng, Pengerusi Majlis Sukan Negeri (MSN) Pulau Pinang, Frederic Tan Teck An yang tidak putus-putus memberi sokongan kepada kami,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman kejayaan pasukan berkaitan di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Chong Eng yang turut hadir pada majlis berkaitan berharap pasukan tersebut dapat terus menempa nama negara dan Pulau Pinang pada masa hadapan.

“Saya berharap kita boleh kecapi kejayaan di peringkat antarabangsa pula selepas ini.

“Walau setinggi mana kejayaan yang dijulang, jangan cepat bangga diri, kekalkan sikap rendah diri dan terus tingkatkan momentum latihan kerana pasukan lain pastinya bakal memberi cabaran lebih hebat,” ujar beliau.

Floorball merupakan sejenis sukan baru yang bertapak di dalam negara. Ianya mirip sukan hoki ais, yang membezakan ia adalah sukan floorball dimainkan di atas permukaan lantai bisasa.

document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);