PBAPP tanggung RM503 juta subsidi air sejak 2019

Admin
img 20240117 wa0005

GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menanggung subsidi berjumlah RM503 juta antara tempoh 2019 sehingga 2023 bagi menampung kos operasi dan keperluan menaik taraf infrastruktur sebagai jaminan pembekalan air kepada 595,579 pengguna air domestik di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata meskipun Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengumumkan pelaksanaan pelarasan kadar tarif baru berkuat kuasa 1 Februari ini, namun PBAPP masih perlu menanggung subsidi kepada pengguna yang dianggarkan berjumlah RM78 juta setahun.

“Walaupun PBAPP dijangka memperoleh hasil berjumlah RM86 juta setahun tetapi operator bekalan air itu masih perlu menanggung subsidi kepada pengguna, walhal hasil tersebut boleh digunakan untuk menaik taraf infrastruktur air.

“Ini termasuk pelaksanaan Projek Pelan Kontingensi Air (WCP) 2030 yang keseluruhan berjumlah RM1.2 bilion demi menjamin pembekalan air berterusan kepada pengguna di negeri ini,” katanya pada sidang media dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Beliau menjelaskan perkara itu sebagai respons kepada pengumuman oleh SPAN berhubung pelaksanaan pelarasan tarif air domestik bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan, yang bakal dikuat kuasa bermula 1 Februari 2024.

Kon Yeow berkata bahawa projek-projek yang dirancang adalah merangkumi pembangunan Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Panchor menggunakan Sistem Pengapungan Udara Terlarut (DAF); Pakej 12A di LRA Sungai Dua; paip agihan dari LRA Sungai Dua ke Butterworth dan dari Macallum ke Bukit Dumbar; LRA Empangan Mengkuang (Fasa 1); LRA Sungai Kerian; LRA Sungai Muda serta Skim Bekalan Air Sungai Perai.

Jelas beliau lagi, projek lain juga termasuk Projek Air Perak – Pulau Pinang yang dilihat mampu memberi jaminan bekalan air sehingga 50 tahun lagi.

“Sekiranya projek-projek ini tidak dilaksanakan, bekalan air hanya dapat bertahan sehingga tahun 2030 tetapi sekiranya berjaya, maka (bekalan air) dapat dipanjangkan antara 30 hingga 50 tahun lagi.

“Kita (Kerajaan Negeri) mahu Pulau Pinang mempunyai daya ketahanan air yang panjang maka semua pihak, Kerajaan Negeri, PBAPP dan pengguna perlu memainkan peranan bagi memastikan pengurusan air berada pada landasan terbaik,” tambahnya.

Justeru, Kon Yeow berkata bahawa pelaksanaan pelarasan kadar tarif baru itu secara tidak langsung dapat membantu PBAPP melaksanakan projek-projek infrastruktur air sekali gus mampu menjamin perkhidmatan bekalan air yang lebih baik untuk rakyat di negeri ini.

“Sebelum ini, telah beberapa kali kita menangguhkan pelarasan kadar tarif dan impaknya menyebabkan pelaksanaan projek-projek infrastruktur baru termasuk penggantian paip-paip usang tertangguh.

“Tambahan pula, pelarasan kadar tarif air di Pulau Pinang tidak dilaksanakan sejak tahun 1993 atau dalam erti kata lain, kita telah mengekalkan tarif lama sejak 31 tahun lalu bagi jalur terendah penggunaan air,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, menurut Kon Yeow, Pulau Pinang masih menjadi antara negeri yang mengekalkan kadar tarif air terendah walaupun selepas pelaksanaan kadar tarif baru tersebut.

Sementara itu, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari yang turut serta dalam sidang media itu memaklumkan, meskipun pelarasan tarif baru dilaksanakan, kadar tersebut masih antara yang terendah di Malaysia.

“Bagi pengguna jalur terendah bil bekalan air tidak dikaji semula sejak tahun 1993 iaitu 31 tahun lalu.

“Walaupun pelarasan kadar tarif baru berkuat kuasa, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) masih perlu menanggung subsidi kerana kadar air lebih rendah daripada kos pengeluaran (bekalan air),” katanya.

 

img 20240117 wa0009
ZAIRIL Khir Johari.

 

Mengulas lanjut Zairil memberitahu bahawa dengan pelarasan kadar tarif baru, sebanyak 77 peratus pengguna air di negeri ini akan membayar bil kurang daripada RM10.85 sebulan.

“Manakala 52 peratus pengguna air pula hanya membayar tarif RM6.20 sebulan bagi penggunaan domestik.

“(Dan) peningkatan pendapatan daripada pelaksanaan pelarasan kadar ini akan digunakan untuk menaik taraf infrastruktur air, meskipun ia masih tidak dapat menampung kos operasi dan kerja-kerja penarafan yang diperlukan,” katanya.

Mengulas lanjut, Zairil yang juga Pengarah Bukan Eksekutif PBAPP memberitahu, bagi penggunaan domestik sehingga 20,000 liter pertama, kadar baru ditetapkan pada harga RM0.55, manakala penggunaan antara 20,001 liter sehingga 35,000 liter (RM1.10); melebihi 35,000 liter (RM2.20) dengan caj minimum adalah sebanyak RM5.50 sebulan.

“Berbeza kadar tarif sedia ada yang mana bagi penggunaan 20,000 liter pertama adalah RM0.22; penggunaan 20,001 sehingga 40,000 liter (RM0.46); 40,001 hingga 60,000 liter (RM0.68) dan dikenakan surcaj penjimatan bagi penggunaan melebihi 35,000 sebulan sebanyak RM0.48 dengan caj minimum adalah RM2.50.

“Kadar terbaru, tiada lagi surcaj penjimatan tetapi pengguna perlu membayar kos Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT), yang membolehkan kos bahan api diselaraskan bagi semua kategori iaitu RM0.07 setiap 1,000 liter penggunaan air sebagaimana diperuntukkan oleh SPAN,” jelasnya.

Dalam sidang media yang sama, Zairil turut mengumumkan pelaksanaan program rebat bersasar oleh PBAPP, iaitu Rebat Mesra Keluarga dan Rebat Mutiara.

“Bagi Rebat Mesra Keluarga, pengguna yang layak akan menerima rebat RM10 sebulan dan mereka perlu mengemukakan permohonan kepada PBAPP dengan syarat pendapatan isi rumah RM2,250 sebulan dan ke bawah.

“Manakala bagi Rebat Mutiara pula, dikhaskan kepada penerima Skim eKasih iaitu mereka yang berpendapatan isi rumah RM1,036 sebulan dan ke bawah dan layak menerima rebat RM10 sebulan serta tidak memerlukan pendaftaran.

“Butiran lanjut mengenai program rebat ini akan diuar-uarkan oleh PBAPP kelak,” katanya.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : NURATIKAH RAHMAT