PBT perlu realistik, sedia tong sampah mencukupi – Exco

img 1019 S. Sundarajoo (tengah) dengan diiringi Muhamad Ghopran Yeop Hamzah (kiri) dan Mohd. Ibrahim Md. Nor (kanan) menyempurna acara gimik perasmian Hari Cuci Malaysia 2025 : Program Pembersihan Mega Seluruh Negara Peringkat Negeri Pulau Pinang di perkarangan lobi Menara Bandaraya MBSP di sini pada 27 September 2025.

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) digalakkan menyediakan tong sampah secukupnya di kawasan pentadbiran masing-masing.

 

img 1016
S. Sundarajoo

Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo berkata demikian semasa merasmikan Hari Cuci Malaysia 2025: Program Pembersihan Mega Seluruh Negara Peringkat Negeri Pulau Pinang di perkarangan Menara Bandaraya MBSP di sini pada 27 September 2025.

“Selepas saya dipilih sebagai ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Perai, saya sering melawat ke Eko Park Pantai Robina (dekat Teluk Air Tawar) bersama-sama rakan MBSP, didapati taman rekreasi awam itu tidak cukup tong sampah dan sampah-sarap memang berselerak.

“Saya diberitahu bahawa PBT mahu menggalakkan orang ramai tidak membuang sampah.

“Saya berasa di kedua-dua bandar raya kita belum sampai tahap seperti di negara Jepun yang mana warga penduduk sudah terbiasa menyimpan sampah dan membuang apabila sampai di kediaman masing-masing.

“Justeru, buat masa sekarang, saya mencadangkan kedua-dua PBT menyediakan tong sampah secukupnya untuk mengelakkan risiko pembuangan sampah di merata tempat hingga mencemar keindahan bandar raya,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berharap kerjasama erat pelbagai pihak dalam melaksanakan program gotong-royong pada hari ini dapat menghimpunkan lebih banyak sampah-sarap berbanding penganjuran tahun 2024 iaitu 5,293.44 kilogram (kg) di kawasan pentadbiran MBPP dan 62,110 kg di kawasan pentadbiran MBSP.

img 1011
SEKALIAN sukarelawan daripada agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyertai program berkaitan di sini pada awal pagi tadi.

Difahamkan, Hari Cuci Malaysia disambut setiap tahun bersempena World Cleanup Day, iaitu gerakan global yang menghimpunkan jutaan sukarelawan dari seluruh dunia bagi melaksanakan aktiviti pembersihan alam sekitar.

Pada tahun 2024, penganjuran Hari Cuci Malaysia Peringkat Kebangsaan telah mengukir sejarah tersendiri apabila mencatatkan tiga rekod baharu dalam The Malaysia Book of Records (MBR) iaitu penyertaan teramai seluruh negara, seramai 58,007 orang; jumlah kutipan sisa pepejal terbanyak dalam sehari, sebanyak 4,645.5 tan metrik dan pelaksanaan gotong-royong terlama iaitu 12 jam tanpa henti.

 

img 1014
MOHD. Ibrahim Md. Nor

Mengulas lanjut, Setiausaha Bandaraya MBSP, Mohd. Ibrahim Md. Nor memberitahu bahawa pada tahun lepas, jumlah kutipan sisa pepejal di seluruh negeri Pulau Pinang sempena penganjuran program global tersebut sebanyak 67.40 tan metrik.

“Ini membuktikan bahawa dengan tekad, kerjasama dan iltizam kolektif, sesuatu yang luar biasa mampu direalisasikan,” jelasnya lagi.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Muhamad Ghopran Yeop Hamzah turut hadir bagi mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB