Peace Corps kembali ke tanah air

Admin

 

(Dari kanan), SHUKRIAH Yon, Paul A. Brown dan Mohd. Salleh Man memerhatikan bahan- bahan pameran bersempena Kempen Membaca Peringkat Negeri serentak dengan Perayaan Ulang Tahun Ke - 50 Peace Corps Malaysia anjuran PPAPP di sini baru-baru ini.
(Dari kanan), SHUKRIAH Yon, Paul A. Brown
dan Mohd. Salleh Man memerhatikan bahan-
bahan pameran bersempena Kempen
Membaca Peringkat Negeri serentak dengan
Perayaan Ulang Tahun Ke – 50 Peace Corps
Malaysia anjuran PPAPP di sini baru-baru ini.

 

SEBERANG JAYAPerbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAPP) melancarkan Kempen Membaca Peringkat Negeri serentak dengan Perayaan Ulang Tahun Ke – 50 Peace Corps Malaysia di sini baru-baru ini.

Majlis perasmian pelancaran tersebut disempurnakan Timbalan Pengerusi Lembaga PPAPP, Datuk Mohd. Salleh Man bersama-sama Paul A. Brown (Kaunselor Ekonomi di Kedutaan Amerika Syarikat) di Perpustakaan Awam Negeri Pulau Pinang, di sini.

Mohd. Salleh berkata, semoga karnival membaca yang diraikan selama sebulan itu dapat memartabatkan budaya ilmu dalam kalangan warga Pulau Pinang sebagaimana dihasratkan Kerajaan Negeri.

“Bukan mudah untuk memupuk masyarakat membudayakan ilmu kerana ini bukanlah peranan dan tanggungjawab sesebuah agensi sahaja, tetapi merupakan peranan pemimpin masyarakat serta (memerlukan) sokongan daripada semua pihak,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir.

Brown turut berucap pada majlis tersebut.

Selain Pengarah PPAPP, Shukriah Yon, kira-kira 200 orang termasuk pelajar sekolah rendah turut hadir pada majlis itu.

Difahamkan, kempen membaca berkenaan meliputi 107 perpustakaan yang berpusat di Perpustakaan Utama dekat Seberang Jaya. Enam perpustakaan cawangan, iaitu di George Town, Balik Pulau, Jawi, Bukit Mertajam, Bertam dan Perputakaan Kanak-Kanak Pulau Pinang (dekat George Town) turut menganjurkan kempen membaca. Sebanyak 83 perpustakaan desa serta 12 perpustakaan bergerak, termasuk dua pusat untuk orang kurang upaya (OKU) yang lain turut serta dalam karnival tersebut.

Sementara itu, Mohd Salleh turut mengalualukan inisiatif Peace Corps untuk kembali ke tanah air sejak Januari lepas menerusi program English Teaching Assistants (ETA).

“Pameran foto sempena 50 tahun Peace Corps di Malaysia dengan ‘Lincoln Corner Penang’ turut dianjurkan di ruang legar Perpustakaan (Utama) Seberang Jaya selama dua minggu bermula pada 23 Mei lalu,” ujarnya

Peace Corps adalah program sukarelawan yang diasaskan Presiden John F. Kennedy pada tahun 1961. Manakala, Malaysia menerima partisipasi Peace Corps selama 21 tahun bermula pada tahun 1962.