Pejabat Kesihatan DTL terima 50 kerusi roda hasil sumbangan Ahli Parlimen

  1. BATU LANCANG – Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut (DTL) Jalan Perak menerima 50 unit kerusi roda hasil sumbangan Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer hari ini. Sumbangan itu merupakan inisiatif Rayer bagi membantu agensi Kerajaan Persekutuan melibatkan fasiliti kesihatan yang disifatkannya perlu diutamakan. Katanya, beliau telah lama menyimpan niat dan hasrat untuk membantu agensi Kerajaan Persekutuan dahulu, tetapi menghadapi kekangan. “Hasil perubahan yang dilakukan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, kini kita boleh masuk dan bantu menyalurkan keperluan seperti ini.

    “Di Parlimen pun kerap kali saya bangkitkan isu kemudahan-kemudahan berkaitan hospital kerana hari ini kalau dilihat  hospital kerajaan… tidak keterlaluan  disifatkan sebagai daif dan perlu dinaik taraf segera,” ujarnya sambil menyatakan kesediaan beliau untuk memberikan bantuan terbaik sekiranya pusat kesihatan berkaitan memerlukan apa-apa bantuan selepas ini. 

    Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lancang, Ong Ah Teong dan ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim.

    Sumbangan tersebut disampaikan kepada Pegawai Kesihatan DTL, Datin Dr. Azizah Abdul Manan. 

    Azizah ketika berucap menyifatkan sumbangan tersebut amat dialu-alukan dan diterima tepat pada masanya.

    “Terima kasih atas keprihatinan Y.B (Rayer), sumbangan seperti ini sememangnya amat kami alu-alukan kerana boleh saya katakan 50 peratus daripada kerusi roda di sini telah rosak.

    “Semoga hubungan baik ini dapat ditingkatkan lagi selepas ini agar masyarakat di sini mendapat manfaat sewajarnya,” ujarnya.

    Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI 

    Gambar : DARWINA MOHD. DAUD