Pelajar cemerlang DUN Permatang Pasir dirai

Oleh : ZULIANA AZIZ

PERMATANG PASIR – Walaupun ayahnya hanya bekerja sebagai peniaga laksa di kampung, namun, ia tidak menghalang seorang pelajar, Noratikah Abd Rahman, 20, untuk berusaha dengan lebih gigih dalam bidang pelajaran.

Hasilnya, beliau berjaya memperoleh keputusan cemerlang iaitu 4A bagi semua mata pelajaran yang diambil dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) tahun lalu.

Pencapaian cemerlang bekas pelajar Sekolah Menengah Tinggi Bukit Mertajam tersebut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Datuk Mohd. Salleh Man apabila beliau tampil memberi sumbangan peribadi di rumah keluarga pelajar berkenaan di Kampung Pelet, di sini baru-baru ini.

Sumbangan tersebut telah disampaikan kepada bapa Noratikah, Idris Othman, 63, sambil disaksikan oleh ibu Noratikah, Che Piah Darus, 58, serta beberapa orang pembantu daripada pejabat ADUN Permatang Pasir.

NUR Illiana Mohd. Zaki gembira menunjukkan slip keputusan peperiksaan SPM serta cek sumbangan peribadi daripada Mohd. Salleh Man di kediamannya di sini baru-baru ini.
NUR Illiana Mohd. Zaki gembira menunjukkan slip keputusan peperiksaan SPM serta cek sumbangan peribadi daripada Mohd. Salleh Man di kediamannya di sini baru-baru ini.

Selain Noratikah, seorang lagi pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Nur Illiana Mohd. Zaki, 18, turut menerima sumbangan peribadi daripada Mohd. Salleh.

Beliau yang berjaya memperoleh 10A dalam peperiksaan SPM tahun lalu merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Penanti, Kepala Batas.

Menurut Illiana, beliau berusaha bersungguh-sungguh dan tidak sesekali berputus asa dalam bidang pelajaran kerana menurut beliau, masa depannya bergantung kepada keputusan yang diperoleh dan bakal mencorakkan kehidupan yang lebih baik di masa akan datang.