Pembangunan ekonomi dan sosial seimbang, tiada yang terpinggir

Admin

SUNGAI PINANG – Kerajaan Negeri amat mementingkan pembangunan seimbang di seluruh Pulau Pinang agar tiada golongan yang terpinggir daripada arus pembangunan.

 

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, di peringkat Kerajaan Negeri, tanggungjawab utama adalah menggubal dasar-dasar supaya pembangunan negeri ini dapat digerakkan.

 

 

“Ia (pembangunan ini) harus digerakkan secara sistematik supaya apabila habis tempoh perkhidmatan, kita sudah tahu sejauh mana kita sudah capai KPI (Indeks Petunjuk Prestasi) yang ditekankan.

 

 

“Begitu juga Kerajaan Negeri yang mana kita meletakkan gagasan Visi Penang2030 dengan matlamat yang jelas supaya dapat menggerakkan segala usaha membangunkan negeri Pulau Pinang.

 

 

“Walau bagaimanapun, dalam mengejar pembangunan duniawi, kita juga mahu kejar pembangunan holistik seimbang yang mana dapat mewujudkan keseimbangan dalam masyarakat bagi menikmati pembangunan secara sekata dan tiada rakyat berasa dipinggirkan daripada apa yang dicapai kini,” ujarnya pada Majlis Perasmian Pusat Penang2030 dan Kebun Komuniti Kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Pinang dekat Solok Sungai Pinang 1 di sini hari ini.

 

 

Turut hadir, ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim selaku tuan rumah; Ahli-ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Wong Yuee Hang serta Connie Tan Hooi Peng dan Jawatankuasa-jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat.

 

Pembukaan Pusat Penang2030 di Sungai Pinang tersebut menjadikannya pusat    serupa yang ke-25 dibuka di seluruh negeri setakat ini.

 

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota menyatakan bahawa pencapaian ekonomi Pulau Pinang merupakan sesuatu yang perlu dibanggakan.

 

 

“Banyak yang kita telah capai, dan setiap tahun kita berada di kedudukan antara tertinggi daripada segi kadar pertumbuhan (ekonomi), pelaburan dan peluang pekerjaan.

 

 

“Namun, kita tidak boleh berpuas hati di situ sahaja, sebaliknya, perlu ada usaha lagi terutamanya pada aspek pembangunan sosial, justeru, pembukaan Pusat Penang2030 ini merupakan satu ruang kepada wakil rakyat untuk bersama-sama komuniti menjalankan aktiviti-aktiviti di Sungai Pinang ini.

 

 

“Masih banyak perkara yang perlu dilakukan seperti penglibatan komuniti diperkasakan yang mana tanggungjawab agensi Kerajaan Negeri dalam pelaksanaan dasar lebih baik supaya kita boleh memacu pembangunan sosial serta ekonomi secara menyeluruh,” ulasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALISSALA THIAN

Video : SITI NURATIKAH RAHMAT