GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri hari ini tidak akan berkompromi dalam soal kesihatan rakyat dengan mempergiat rundingan bersama-sama Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memuktamadkan tapak pembangunan semula Hospital Sungai Bakap (HSB).

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa langkah tersebut merupakan bukti keseriusan Kerajaan Negeri dalam memastikan fasiliti perubatan yang berusia lebih satu abad itu digantikan dengan sebuah kompleks perubatan moden yang lebih mampan.
“Rundingan aktif sedang berjalan dengan KKM ketika ini untuk memuktamadkan tapak pembangunan semula HSB dalam tempoh terdekat.
“Ini adalah komitmen berimpak tinggi kita untuk menggantikan fasiliti berusia seabad ini dengan sebuah kompleks perubatan moden yang mampu mendepani cabaran kesihatan masa hadapan,” ujarnya semasa berucap dalam majlis Gebyar Ramadan dan Majlis Berbuka Puasa Bersama-sama Warga Kesihatan Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di HSB di sini pada 1 Mac 2026.
Sehubungan itu, Kon Yeow berharap projek pembangunan semula HSB bakal memberikan nafas baharu kepada sistem penyampaian kesihatan di bahagian Seberang Perai, sekali gus mengurangkan kesesakan di hospital-hospital pakar sedia ada di negeri ini.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi turut menegaskan bahawa usaha menaik taraf sektor kesihatan negeri ini tidak hanya tertumpu kepada projek mega, sebaliknya meliputi pengukuhan fasiliti di peringkat akar umbi.
Baginya, kejayaan menyiapkan klinik pergigian baharu serta kerja-kerja menaik taraf Jabatan Kecemasan sebelum ini hanyalah titik permulaan kepada pelan transformasi kesihatan yang lebih besar.
“Dengan suntikan dana RM191.8 juta yang diperuntukkan untuk Pulau Pinang, kita sedang membina sebuah benteng kesihatan yang inklusif.
“Ia merangkumi usaha memulihkan klinik desa yang terpencil sehinggalah kepada mewujudkan sebuah ‘Wellness Hub’ yang serba canggih,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Mengakhiri ucapan, Kon Yeow menegaskan bahawa matlamat akhir Kerajaan Negeri adalah untuk memastikan jurang fasiliti antara kawasan bandar dan luar bandar dapat dirapatkan.
“Matlamat kita jelas iaitu memastikan setiap rakyat, dari bandar hingga ke ceruk kampung, mendapat akses perubatan yang pantas, moden dan berkualiti tinggi,” ulasnya lanjut.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen dan Pengarah Kesihatan Negeri, Dato’ Dr. Fazilah Shaik Allaudin turut berucap dalam majlis tersebut.
Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye merangkap ADUN Jawi; ADUN Sungai Bakap, Abidin Ismail; Pengarah Hospital Sungai Bakap, Dr. Siti Aisyah Salahudin dan Pegawai Penerangan Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri, Pejabat Ketua Menteri, Zahar Zainul.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar & Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI