Pemberian rebat cukai taksiran RM47.3 juta, Exco zahir penghargaan

Admin

GEORGE TOWN – Bagi meringankan beban rakyat Pulau Pinang akibat penularan wabak COVID-19, Kerajaan Negeri telah bersetuju memberikan rebat cukai taksiran bagi tahun 2020 berjumlah RM47.3 juta, ujar Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo.

Beliau berkata, di bawah Pakej Ransangan COVID-19 Pulau Pinang ke-2, rebat cukai taksiran bagi tahun 2020 tersebut tidak akan dipungut oleh kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

“Secara keseluruhannya terdapat sekitar 322, 549 pembayar cukai di bahagian pulau dan Seberang Perai (327,401).

“Cadangan terdahulu bagi menaikkan kadar cukai taksiran menganggarkan bagi tahun 2020, MBPP akan menerima tambahan (cukai) sekitar RM 54 juta), manakala MBSP (RM39.7 juta).

“Namun, mengikut bantahan awam di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang telah dikemukakan rakyat Pulau Pinang, MBPP dan MBSP masing-masingnya telah bersetuju untuk mengurangkan kenaikan kadar (cukai) tersebut kepada RM19.4 juta dan RM27.8 juta masing-masingnya.

“Justeru, melalui 175 sesi pendengaran awam yang dijalankan mengikut lunas undang-undang, saya telah mengemukakan input yang diterima kepada pihak Kerajaan Negeri, dan hari ini dengan gembiranya keputusan telah diambil untuk meringankan beban rakyat Pulau Pinang,” ujarnya pada sidang media di sini hari ini.

Turut serta Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang dan Dato’ Sr. Rozali Mohamud (Datuk Bandar MBSP).

Selain daripada bantuan dan rebat cukai taksiran berkenaan, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat memaklumkan bahawa satu lagi bayaran one-off bernilai sebanyak RM4.38 juta di bawah pakej ransangan ke-2 akan disalurkan kepada golongan penjaja.

“Bayaran one-off RM500 akan disalurkan kepada sekitar 3, 103 penjaja di lot kedai berlesen dan 5,666 penjaja yang berdaftar dan diberi ‘tangging’ di seluruh Pulau Pinang akan menerima manfaat ini.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Kerajaan Negeri untuk edisi ke-2 pakej ransangan ini yang bernilai RM76 juta selain daripada pakej awal (RM75 juta) menjadikan bantuan keseluruhan terutamanya kepada kumpulan yang paling rentan di seluruh negeri ini berjumlah RM151 juta,” ujar beliau.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF