Pembukaan sempadan negara, Kerajaan Negeri jalin pelbagai kerjasama rancakkan sektor pelancongan

Admin

GEORGE TOWN – Pembukaan semula sempadan negara pada 1 April lalu akan merancakkan kembali sektor-sektor ekonomi dan sosial di negeri ini termasuk pembangunan pelancongan yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

 

Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa sebelum ini, pembukaan sempadan negeri telah mula menampakkan perkembangan baik ke arah pemulihan sektor pelancongan di negeri ini.

 

Walaupun sempadan antarabangsa dibuka pada 1 April lalu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak menjangkakan kedatangan pelancongan yang mendadak dalam tempoh peralihan ini.

 

KETUA Menteri ketika berucap pada Majlis Tahlil dan Berbuka Puasa anjuran Kelab Sukan Pemuda Islam.

 

“(Hal ini kerana), masih terdapat banyak negara yang belum membuka sempadan mereka misalnya negara-negara di Asia Timur yang sebelum ini menyumbang kepada kehadiran pelancongan yang ramai,” ujarnya yang mengakui bahawa pembukaan sempadan menjadi cabaran untuk mengawal penularan wabak.

 

Tambah Kon Yeow, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menjalin kerjasama dengan syarikat-syarikat penerbangan negara untuk menambah penerbangan secara terus ke negeri ini, terutamanya dari negara-negara Asia Tengah yang dilihat berpotensi membawa masuk pelancong pada musim-musim tertentu.

 

Selain itu, Kerajaan Negeri juga sebelum pandemik lagi, telah memberi insentif kepada syarikat penerbangan berkaitan untuk menarik pelancong ke Pulau Pinang khasnya.

 

“(Dan) ini adalah sebahagian ikhtiar Kerajaan Negeri untuk mempromosikan negeri ini kepada pelancong luar negara,” jelasnya yang berharap pembukaan sempadan baru-baru ini akan menjadi penyumbang pemulihan sektor pelancongan di negeri ini.

 

Terdahulu, Kon Yeow hadir memenuhi jemputan berbuka puasa bersama-sama pimpinan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lokal anjuran Kelab Sukan Pemuda Islam atau Young Muslim Sports Club (YMSC) di Wisma YMSC dekat sini.

 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng merangkap Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri; ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen; Presiden Liga Muslim, Datuk Haja Najmudeen Kader serta pimpinan dan ahli-ahli NGO kawasan Tanjong dan Pulau Pinang.

 

ANTARA pimpinan pertubuhan bukan kerajaan lokal yang hadir pada majlis berkaitan.

 

Dalam pada itu, Pengerusi YMSC, Munower Sadiq M.K.E. Kader menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada pimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang terutamanya Ketua Menteri yang sentiasa menyokong aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dan pembangunan belia anjuran NGO lokal di sini.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : LAW SUUN TING