Pemilihan DAP Pusat, saksikan perubahan pucuk pimpinan sejajar perlembagaan parti – Kon Yeow

GEORGE TOWN – Pemilihan Parti Tindakan Demokratik (DAP) peringkat pusat yang bakal berlangsung pada 20 Mac ini dijangka menyaksikan perubahan pucuk pimpinan sejajar dengan perlembagaan parti tersebut.

Menurut Ketua Menteri yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, perlembagaan tersebut mengehadkan jawatan Setiausaha Agung parti selama tiga penggal sahaja.

“Seperti semua sedia maklum jawatan bagi Setiausaha Agung bagi Saudara Lim Guan Eng sudah mencapai tiga penggal.

“Justeru, akan muncul Setiausaha Agung yang baharu… dalam pindaaan perlembagaan pun kita akan lihat senario baharu, pertamanya jawatankuasa pusat dikembangkan daripada 25 orang kepada 30 orang.

“Sebanyak 30 peratus perlu terdiri daripada ahli-ahli wanita, jadi maksudnya dalam jawatankuasa pusat yang baharu sekurang-kurangnya akan ada sembilan ahli yang terdiri daripada wanita, mungkin lebih, walau bagaimanapun sembilan kerusi bakal dikhaskan kepada golongan berkaitan,” ujarnya dalam sidang media di sini tadi.

Hadir sama, Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam yang juga Ketua Wanita DAP, Chong Eng.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa perkara tersebut merupakan perubahan besar dan beliau turut menjangkakan akan terdapat juga perubahan lain pada pemilihan jawatankuasa pusat berkenaan.

Ditanya mengenai kedudukan dalam jawatan parti, Kon Yeow memberitahu bahawa beliau akan bertanding bagi peringkat pertama terlebih dahulu setelah menerima pencalonan.

“Perlu lepasi peringkat pertama baru boleh dipilih, perlu terlebih dahulu dipilih sebagai ahli jawatankuasa pusat iaitu membabitkan kuota 30 orang sebagaimana dinyatakan,” ujarnya.

Kon Yeow dalam pada itu turut mengulas mengenai beberapa maklum balas dalam kalangan ahli DAP yang mencadangkan parti tersebut berdikari pada pilihan raya akan datang ekoran keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini.

“Parti sememangnya tidak pernah membincangkan hal ini, tetapi adalah dipercayai parti akan meneliti setiap keputusan PRN.

“Shingga kini, kita (DAP) memang komited dengan gabungan politik kita iaitu Pakatan Harapan (PH) dan ia adalah soal bagaimana memperkukuhkan pakatan ini dan bukan sebaliknya,” tegasnya.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : DARWINA MOHD DAUD