Pemilik unit Jiran Residensi Kampung Jawa terima kunci

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hadir menyaksikan majlis penyerahan kunci kepada pemilik-pemilik unit projek perumahan mampu milik Jiran Residensi, Kampung Jawa yang diadakan secara maya.

Turut serta, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Sing Deo; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M. Satees; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud serta Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Dato’ Mohd. Bazid Abd. Kahar.

Seramai lima penerima dijemput hadir menerima kunci rumah sebagai simbolik program yang berlangsung dekat pejabat PDC, sebentar tadi.

Ketua Menteri semasa memyaksikan majlis penyerahan kunci unit Jiran Residensi, Kampung Jawa kepada pemilik terlibat dekat komtar.

Dalam ucapan beliau sebelum itu, Kon Yeow memberitahu bahawa Jiran Residensi merupakan projek ketiga Skim Rumah Mampu Milik (RMM) yang dibina oleh Kerajaan Negeri dan PDC di negeri ini.

“Projek ini dibina di atas tanah seluas 8.84 ekar bermula pada 17 November 2014 dan berjaya memperoleh Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) pada 26 Januari 2021.

“Kos pembangunan keseluruhan projek ini adalah sebanyak RM126 juta dibiayai melalui dana Perumahan Mampu Milik yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri dengan berjumlah RM500 juta.

“Selain dilengkapi dengan ciri-ciri fasiliti, Jiran Residensi juga terletak di lokasi yang strategik dan mudah diakses kerana berdekatan dengan Penang Sentral, pasar awam, terminal bas, sekolah serta kawasan perindustrian,” katanya pada majlis berkaitan tadi.

Kon Yeow menyatakan bahawa meskipun berdepan dengan kesulitan semasa tempoh pandemik COVID-19, namun PDC berjaya memastikan projek-projek berkepentingan rakyat dapat disiapkan dalam tempoh masa ditetapkan.

Chow Kon Yeow turut menyampaikan ucapan sebelum sesi penyerahan kunci.

Tambah beliau, sehingga kini PDC sebagai pemaju bertanggungjawab telah berjaya menyiapkan 1,921 unit Rumah Mampu Milik termasuk Jiran Residensi.

“Sebanyak 535 lagi unit masih dalam pembinaan dan 14,896 unit sedang dalam perancangan,” ujarnya.

Difahamkan, Jiran Residensi adalah terdiri daripada dua blok iaitu Menara A yang menempatkan unit RMM berharga antara RM250,000 hingga RM275,000 dan mempunyai 35 tingkat dengan 354 unit.

Menara B pula merupakan pangsapuri kos sederhana rendah berharga RM72,500 yang terdiri daripada 25 tingkat dengan 353 unit dan menjadikan keseluruhannya adalah sebanyak 707 unit.

Sementara itu, Jagdeep memberitahu bahawa Kerajaan Negeri melaksanakan pendekatan baru untuk membekalkan lebih banyak unit rumah mampu melalui kaedah Sewa Beli (RTO).

“Setakat ini, kita ada 2,474 unit rumah mampu milik yang siap untuk diagihkan melalui kaedah Sewa Beli,” ulasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI