Penang FC, SA Mutiara Deco anjur Program Sekolah Angkat, cungkil bakat muda sukan bola sepak

Admin
img 20250620 wa0019

SUNGAI DUA – Penang Football Club (Penang FC) melalui kerjasama strategik dengan syarikat penaja, SA Mutiara Deco melaksanakan program Sekolah Angkat untuk mencungkil bakat muda dalam sukan bola sepak.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata sebanyak 10 buah sekolah harian biasa membabitkan seramai 150 orang murid terlibat dalam projek perintis tersebut buat masa ini.

Sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Dua; SK Bertam Indah, SK Seri Gemilang; SK Sungai Puyu, SK Kampung To’ Bedor, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Ahmad Said SMK Bertam Indah, SMK Gemilang, SMK Permatang Rawa, SMK Tun Hussein Onn dan akan diperluaskan kepada lima hingga 10 sekolah lagi dalam tempoh terdekat.

img 20250620 wa0015img 20250620 wa0029img 20250620 wa0025img 20250620 wa0028img 20250620 wa0026

“Kita hanya pilih sekolah biasa dan bukan sekolah sukan atau Pusat Latihan Daerah (PLD) kerana percaya bakat-bakat baharu berkualiti ini juga boleh dicungkil di sekolah biasa untuk membantu pembangunan sukan bola sepak negeri pada peringkat akar umbi.

“Namun, bilangan sekolah akan ditambah pada masa akan datang supaya dapat meliputi sekolah-sekolah di semua daerah di negeri ini.

“Kita harap penganjuran program peristis ini dapat meningkatkan lagi pembangunan bakat dalam sukan bola sepak di negeri ini pada peringkat akar umbi selain membina prestasi atlet pada usia muda,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Program Sekolah Angkat dekat Dewan Iltizam, Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Dua dekat sini semalam.

Turut hadir, Ketua Ketua Unit Sukan Pembangunan Bakat Murid, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang, Ramlee Abu Bakar, Ketua Jurulatih Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail selain barisan skuad Harimau Kumbang seperti Faiz Subri, Khairul Akmal Rokisham dan Adib Raop.

Zi Sen berkata, melalui program tersebut peserta dibahagikan kepada tiga kategori iaitu 12, 15 dan 18 tahun ke bawah .

“Kita akan anjurkan pertandingan liga bola sepak bagi sekolah berkenaan dan jika sekiranya mendapat maklum balas yang positif serta sambutan yang baik, maka kita akan teruskan program sebagai satu acara tahunan,” katanya.

Mengulas lanjut, Zi Sen berkata, melalui kerjasama erat bersama Penang FC, peserta berpeluang menyertai klinik bola sepak, kelas dan bengkel motivasi.

“Selain itu, peserta juga akan mendapat pendedahan mengenai teknik latihan serta teori asas permainan bola sepak bagi meningkatkan pemahaman dan ilmu mereka dalam sukan itu dari semasa ke semasa,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS