Tuah berteduh di Pusat Transit Gelandangan, ramai bersyukur hidup kembali pulih dan bekerja

Admin
c59908a6 890f 4b48 9a3c 077d85b22fcb LIM Siew Khim (kiri sekali) dan Rozita Ibrahim (tengah) menyantuni dengan tiga bekas penghuni Pusat Transit Gelandangan yang kini telahpun bekerja dan kian pulih hidup di sini pada 19 Jun 2025.

SEBOLEH-BOLEHNYA Tandas Awam Kampung Kolam dari semasa ke semasa mesti dilihat bersih dan indah kerana fasiliti di bawah seliaan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) itu berada dalam kawasan tumpuan pengunjung tempatan dan pengembara antarabangsa yang melawat tempat-tempat pelancongan terkenal di sekitar Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.

img 8808
DI perkarangan hadapan Tandas Awam Kampung Kolam.

Demikian kata NAZRI ISMAIL, 53, sambil melahirkan rasa syukur kerana diberi peluang bekerja sebagai kakitangan kontrak pembersihan di tandas awam tersebut di sini pada 19 Jun 2025.

img 8809
NAZRI Ismail

“Saya juga pernah kerja kargo sebelum ini tetapi sebab hendak jaga isteri yang menderita sakit kanser, akhirnya saya berhenti kerja.

“Saya diusir keluar dari rumah mak mertua di Balik Pulau selepas isteri saya meninggal dunia pada tahun 2020 dan sejak itu, saya terpaksa jadi gelandangan di bandar raya (George Town) ini untuk meneruskan hidup,” jelasnya kepada wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar, AHMAD ADIL MUHAMAD.

img 8811
PUSAT Transit Gelandangan dekat Jalan C.Y.Choy kini kian dilihat simbol komitmen Kerajaan Negeri hari ini serius bagi menangani isu gelandangan di sekitar bandar raya George Town.

Apabila mendapat tahu Pusat Transit Gelandangan (PTG) dekat Jalan C.Y.Choy mula beroperasi pada bulan September 2023, Nazri berkata beliau mengambil keputusan untuk ‘berteduh’ di sana.

Selepas kira-kira enam bulan ‘berteduh’ di PTG, Nazri memberitahu bahawa beliau diminta berpindah ke fasiliti tempat tinggal sementara di Anjung Singgah di bawah seliaan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dekat Lebuh Chulia, apabila ditawarkan kerja sebagai pengawal keselamatan.

“Selepas saya ditawarkan kerja pembersihan Tandas Awam Kampung Kolam di sini, baru saya menyewa bilik dekat Lebuh Macallum.

“Walaupun tidak lagi menjadi gelandangan, saya tidak pernah lupa Pusat Transit Gelandangan yang menjadi tempat saya makan minum, berteduh dan tidur,” jelasnya.

5ab33c15 6d62 4e5a 89e1 7d000e4f74a4
ONG Heng Lee

Senasib dengan Nazri, ONG HENG LEE, 45, berkata bahawa beliau sebelum ini pernah bekerja sebagai pemandu pelancong antarabangsa di Wilayah Guangdong dekat Selatan negara Republik Rakyat China.

“Pandemik COVID-19 mendesak saya pulang ke Malaysia pada Mac 2020 dan terpaksa jadi gelandangan di Kuala Lumpur sebelum ke Pulau Pinang kerana tidak mampu lagi menyewa hotel murah.

“Saya suka Pusat Transit Gelandangan sebab fasiliti yang bersih dan selesa serta makan minum yang cukup iaitu 12 kali sehari pada waktu itu.

f957110c d0bb 424c a9d3 08645e1ef7e5
LIM Siew Khim (berdiri, dua dari kanan) diiringi Rozita Ibrahim (berdiri, kanan sekali) turut meluangkan masa menyantuni serta mendapatkan maklum balas daripada salah seorang pelanggan Pusat Transit Gelandangan mengenai iklim kehidupan di tempat ‘teduhan sementara’ tersebut.

“Macam-macam peluang saya dapat selama tinggal di Pusat Transit Gelandangan, antaranya saya pernah jadi penghantar makanan apabila menerima sumbangan motosikal daripada sebuah NGO (pertubuhan bukan kerajaan).

“Dan, sekarang tidak lagi tinggal di Pusat Transit Gelandangan dan mampu menyewa bilik sendiri, apabila diberi peluang bekerja dengan Shoppee (iaitu) sebagai Penyelaras Bungkusan Daerah Taiping-Kemunting (Perak),” jelasnya lagi.

856cde74 114b 49fe b8f1 567816985033
WONG Kok Wei

WONG KOK WEI, 55, turut berkongsi kisah kegembiraanya apabila ditawarkan bekerja sebagai pengawal keselamatan serta mampu menyewa bilik di Batu Lancang.

“Bagi saya 70 peratus usaha untuk keluar dari kelompok gelandangan mesti datang dari dalam diri sendiri (sementara) 30 peratus itu adalah sistem sokongan dalam bentuk kemudahan seperti Pusat Transit Gelandangan.

“Terima kasih kepada YB Lim Siew Khim (Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam) yang telah membantu saya mendapatkan pekerjaan ini.

“Walaupun saya bukan lagi gelandangan, Pusat Transit Gelandangan ini bagaikan ‘cahaya’ untuk saya sendiri datang dan membantu sebagai sukarelawan agar lebih ramai boleh memperbaiki kehidupan masing-masing,” jelasnya lagi.

img 8791
KHOO Kavita a/p Baba @ Lhoo Ah Kiat

Berasal dari Melaka, KHOO KAVITA A/P BABA @ KHOO AH KIAT, 45, memberitahu bahawa beliau pernah ‘berteduh’ di Pusat Transit Gelandangan selama lebih empat bulan dan kembali ditawarkan kerja sebagai pengawal keselamatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) sejak 2 Jun lepas.

“Apabila hilang pekerjaan, maka hilanglah pendapatan.

“Apabila tidak mampu lagi menyewa bilik, saya tidak ada banyak pilihan untuk meneruskan hidup melainkan ‘berteduh’ di sini (PTG),” jelasnya sambil memberitahu bahawa kini beliau mampu kembali menyewa bilik di bandar raya George Town.

253c9fb5 6a8d 49d1 95ea 9067e168524d
NAZATULWANIS Mohd. Khorish

NAZATULWANIS MOHD. KHORISH, 34, yang ditemui kemudian memberitahu bahawa terdapat beberapa faktor di sebalik kewujudan gelandangan, lebih ketara dapat dilihat di bandar raya George Town berbanding di kampung-kampung tradisi sekitar negeri ini.

Menurutnya, rumah bertanah di kampung membolehkan seseorang yang hilang mata pencarian mempunyai opsyen untuk menjalankan aktiviti bercucuk tanam bagi meneruskan hidup, berbanding tinggal di unit kediaman berstrata yang mempunyai kawasan bertanah begitu terhad.

“Tidak seperti di kampung, seseorang yang hilang mata pencarian sampai tidak mampu lagi menyewa bilik atau rumah flat, terpaksalah jadi gelandangan untuk kekal tinggal di bandar raya ini.

“Jadi, dengan adanya Pusat Transit Gelandangan yang pada satu-satu masa boleh menampung sehingga 50 orang, akan menjadi sistem sokongan kepada mereka yang terjejas khususnya semasa ekonomi kian mencabar seperti waktu Pandemik COVID-19,” jelasnya lagi sambil memberitahu bahawa sekalian gelandangan yang ‘berteduh’ di PTG dilihat lebih bermaruah apabila dipanggil sebagai pelanggan (client).

8a88b9a2 69de 48d3 98bc 11dc66afb91c
LIM Siew Khim (kiri) dan Rozita Ibrahim (kanan) turut menunjukkan ruang pakai terpakai berkualiti untuk memenuhi keperluan penghuni Pusat Transit Gelandangan di sini.
55cd1e08 1dca 48bf 838b dfff86b38dfa
RUANG penyediaan makanan dan minum secara percuma begitu bersih di Pusat Transit Gelandangan, yang mana segala kos ditanggung sepenuhnya melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh syarikat korporat dan NGO berkaitan.

Setakat 11 Jun 2025, beliau mendedahkan PTG menerima masuk seramai 565 pelanggan.

Daripada jumlah itu, seramai 528 atau 47.8 peratus direkodkan mendaftarkan diri keluar dari PTG tersebut.

“Kalau ikut pecahan bangsa, yang pernah menjadi pelanggan PTG di sini adalah seramai 219 orang Melayu, Cina (168), India (169) dan lain-lain (9).

“Warganegara berusia 18 tahun dan ke atas, boleh mengurus diri, tidak mempunyai rumah atau bilik; gelandangan, bukan penagih dadah, tidak menghidap pengakit berjangkit dan tidak mempunyai pekerjaan adalah syarat layak daftar sebagai pelanggan di PTG,” jelasnya lagi.

b920699c a386 4524 ae07 ffe286765669
ROZITA Ibrahim

Baru melaporkan diri sebagai Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pulau Pinang, ROZITA IBRAHIM mengakui bahawa segala kemudahan seperti tempat penginapan sementara, persiapan makan minum dan mesin basuh layan diri yang disediakan di Pusat Transit Gelandangan di sini sebenarnya melambangkan Kerajaan Negeri hari ini komited memberi respons kepada isu masyarakat menua dan kewujudan gelandangan di bandar raya George Town.

Baginya, PTG begitu selesa yang diwujudkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menjadi penanda aras bagi negeri-negeri lain, begitu juga Anjung Singgah yang diuruskan oleh Yayasan Kebajikan Negara adalah usaha Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

“Dasar Kebangsaan Mengenai Gelandangan (DKG) 2020 yang diumumkan KPWKM menyediakan pendekatan bersepadu dan menyeluruh bagi menangani isu gelandangan, di samping menggalakkan pendekatan pembangunan insan serta bukan hanya bantuan sementara,” jelasnya lagi.

d9772eb2 2186 4270 b565 93639ce704d4
SELAIN menjadi tempat khusus untuk makan dan minum secara percuma, ini lah ruang utama aktiviti sosial para pelanggan Pusat Transit Gelandangan.
97f40e49 21fa 432e 9469 f071e33c159b
RUANG penginapan sementara yang begitu bersih dan selesa sedikit banyaknya menjadi sistem sokongan buat para pelanggan Pusat Transit Gelandangan untuk meneruskan hidup dengan lebih bermaruah.

Baginya, usaha memadankan kerjaya kepada sekalian pelanggan PTG di sini adalah selari dengan komitmen JKM, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan NGO berkaitan yang gigih menyelaras program pekerjaan dan pemulihan sosial khusus untuk kelompok gelandangan selama ini.

“Kerajaan Negeri memang diakui ada pelan yang tersendiri, jadi agenda-agenda itu perlu dijayakan dengan agensi-agensi berkaitan yang ada serta akan menjadi penanda aras kepada para pemegang taruh yang lain,” jelasnya lagi.

9ceda52f 7d5d 4f6d 9464 a092d58334c4
LIM Siew Khim

Mengakhiri wawancara, LIM SIEW KHIM yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang berkata bahawa pentadbiran Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memang berhasrat untuk mewujudkan lebih banyak sistem sokongan lain bagi meningkatkan lagi kualiti hidup golongan terjejas seperti para pelanggan yang berteduh di Pusat Transit Gelandangan.

Senada dengan Rozita, Siew Khim berkata Kerajaan Negeri hari ini akan terus mempererat kerja sama dengan semua pemegang taruh bagi membantu para pelanggan PTG mendapatkan pekerjaan serta menikmati hidup yang lebih baik di negeri ini.

“Sesiapapun mungkin akan menemukan saat kehilangan kerja dan terpaksa menjadi gelandangan untuk meneruskan hidup di bandar raya.

“Sehingga kini, lebih 500 orang pernah berteduh di Pusat Transit Gelandangan selepas kita melaksanakan beberapa siri operasi penyelamatan gelandangan di sekitar bandar raya George Town.

“Daripada 500 orang gelandangan yang berjaya diselamatkan, ada lebih 200 orang telah mendaftar keluar dari Pusat Transit Gelandangan ini kerana ada pekerjaan dan mampu kembali menyewa bilik dan rumah di luar sana.

“Kejayaan ini tidak mungkin dapat dicapai jika inisiatif Pusat Transit Gelandangan tidak mendapat sokongan daripada agensi-agensi Kerajaan, NGO serta pihak swasta dari sudut penyediaan makan setiap hari.

“Buat masa ini, ada sejumlah 35 syarikat menjadi rakan strategik kita untuk menawarkan peluang kerjaya kepada pelanggan di Pusat Transit Gelandangan.

“Kalau boleh, kita hendak lebih banyak syarikat swasta dan kilang-kilang serta agensi berkaitan boleh tampil memberi sokongan dan kerjasama dengan menawarkan peluang pekerjaan kepada para pelanggan di Pusat Transit Gelandangan,” jelasnya.

dce7412a 8496 4cfd b128 ae19393a879d
LIM Siew Khim (dua dari kanan) merakamkan gambar dengan ‘tiga orang kuat’ di sebalik pengoperasi Pusat Transit Gelandangan Pulau Pinang dekat Jalan C.Y.Choy demi memastikan golongan terjejas dapat meneruskan hidup dengan lebih bermaruah.