Penang Hill Festival: Music on The Hill – East meets West kembali lagi 21 Julai ini

Admin
whatsapp image 2024 05 20 at 3.04.47 pm

FESTIVAL Penang Hill yang dinanti-nantikan kini kembali dengan Music on The Hill – East Meets West sebagai acara utama yang akan diadakan pada 21 Julai 2024.

Lima kumpulan tarian dan muzik tempatan terkenal seperti BhaavaNarthana Natyalaya, Penang Youth Orchestra, Culture Shot, Wak Long Music and Centre dan Sada Borneo akan membawa persembahan unik dan penuh keseronokan pada acara tersebut yang bermula dari jam 3 hingga 6 petang.

 

Wak Long Music and Art Centre

whatsapp image 2024 05 20 at 3.06.38 pm
WAK Long Music and Art Centre.

Pengasas kepada Wak Long Music and Art Centre, Mohd. Jufry Yusoff berkata bagi festival kali ini, pihaknya dijemput untuk melakukan persembahan dikir barat selama lebih kurang satu jam.

“Selain itu, antara muzik tradisional lain yang dipersembahkan adalah seperti muzik gamelan, muzik asli, dikir barat, muzik silat dan pergendangan Melayu

“Persembahan tarian tradisional pula termasuk tarian inang, joget, zapin, masri, asyik, makyung manakala tarian interaktif pula ialah tarian buluh dah kuda kepang,” katanya kepada Buletin Mutiara.

Justeru, beliau berharap agar melalui penganjuran program tersebut kepelbagaian kebudayaan tradisional Melayu dapat dipertahankan dan dikekalkan tidak mengira generasi.

“Kami mahu generasi yang akan datang masih mengenali akar umbi seni tradisional dari mana, bukan wayang kulit moden dimainkan tetapi asal-usul sebetulnya wayang kulit yang berasal dari Kelantan,” jelasnya.

Mohd. Jufry terkenal sebagai penggiat muzik tradisional dan pembuat patung wayang kulit dengan pengalaman lebih daripada 30 tahun dalam persembahan muzik tradisional terutamanya wayang kulit.

 

Culture Shot

whatsapp image 2024 05 20 at 3.05.15 pm
CULTURE Shot.

Ang Eng Bok dan M. Sivasilan dari Culture Shot berkata bahawa tujuh orang daripada ahli kumpulan tersebut dijemput untuk membuat persembahan selama 45 minit.

“Pasukan kami juga cuba memasukkan dialek Hokkien gaya Pulau Pinang ke dalam lagu-lagu untuk mencipta lagu-lagu rakyat yang unik dan berharap dapat muncul di festival ini dan berkongsi karya dengan para pengunjung di Penang Hill.

“Kami sedang membuat persiapan bagi memastikan persembahan yang dimainkan nanti akan lebih baik berbanding sebelum ini dan kami juga akan meninjau kawasan Penang Hill untuk merasai suasana dan aura di sini bagi mengatur format persembahan yang lebih terperinci,” kata Eng Bok.

Beliau menyatakan bahawa acara tersebut adalah kali pertama kumpulan itu membuat persembahan di puncak bukit.

Kepakaran Culture Shot adalah mengintegrasikan alat muzik daripada kumpulan etnik yang berbeza, seperti erhu dan seruling Cina; gong tradisional India dan gendang Melayu di mana ia mentakrifkan semula lagu-lagu rakyat tradisional melalui kompilasi moden, yang sangat unik.

 

Penang Youth Orchestra

whatsapp image 2024 05 20 at 3.06.18 pm
PENANG Youth Orchestra.

Carmen Tan dari Penang Youth Orchestra pula menyatakan bahawa ini adalah kali pertama kumpulan orkestra itu menyertai festival muzik yang diadakan di Penang Hill sejak penubuhannya.

Beliau berkata, kumpulan itu kini sedang memilih ahli dan menyusun repertoir yang ingin dipersembahkan di festival muzik yang berkaitan, dan berharap dapat memilih lebih banyak lagu yang menyentuh hati orang ramai supaya penonton yang mengambil bahagian dapat merasai daya tarikan muzik.

“Kami akan memilih lebih 20 ahli pasukan untuk menyertai acara ini yang mana persembahan akan dibahagikan kepada dua bahagian, pembukaan selama 15 minit dan tempoh alu-aluan selama 30 minit,” ujar Tan.

Beliau menegaskan bahawa sebagai acara besar yang mengumpulkan orang ramai dan mempamerkan budaya muzik, tujuan dan kepentingan festival muzik itu bukan sahaja untuk memberikan detik-detik gembira, tetapi juga untuk menjadi platform penting yang memimpin pertukaran budaya, sosial dan emosi.

Beliau juga berharap melalui festival muzik ini, pelbagai gaya muzik dapat disatukan bagi mempromosikan warisan dan perkembangan budaya muzik tanah air serta memberi peluang kepada pemuzik generasi baharu untuk menyerlahkan bakat masing-masing.

 

Sada Borneo

whatsapp image 2024 05 20 at 3.05.27 pm
SADA Borneo.

Selain itu, Sada Borneo yang pernah menyertai Asia’s Got Talent dan mara ke separuh akhir turut akan membuat kemunculan pada festival muzik pada hari tersebut dengan membawakan “Sound of Borneo” yang mengujakan kepada para pengunjung.

Kumpulan yang dianggotai oleh enam orang itu akan mempersembahkan muzik unik dengan menggabungkan instrumen tradisional dan moden, seperti instrumen tradisional Sarawak seperti sabei dan kuling boring serta instrumen moden seperti gendang, bass dan papan kekunci.

Mereka akan dijemput untuk membuat persembahan selama lebih daripada 15 minit pada hari tersebut dan membawakan sekurang-kurangnya tiga lagu berlainan.

 

BhaavaNarthana Naatyalaya

whatsapp image 2024 05 20 at 3.06.02 pm
BHAAVANARTHANA Naatyalaya.

Festival tersebut turut membawakan tarian tradisional India yang diketuai oleh T. Pavaani yang akan mempersembahkan tarian merak yang terkenal dan tarian tongkat.

“Tarian tradisional India memerlukan banyak masa untuk berlatih dan mengambil masa kira-kira dua tahun untuk membiasakan diri dengan pengetahuan asas dan sekurang-kurangnya lapan tahun untuk mempelajarinya dengan jayanya,” kata Pavaani.

Justeru, beliau berharap dapatmenunjukkan keindahan tarian klasik India kepada peserta menerusi festival tersebut selain mempamerkan kepelbagaian ciri kesenian Malaysia melalui bentuk persembahan.

 

Oleh : NUR SYAKIRAH MOHD. BASRI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI