Pendekatan secara kolektif dan holistik perlu dalam tangani wabak denggi, chikungunya

Admin

GEORGE TOWN – Pendekatan secara kolektif dan holistik perlu diambil dalam usaha menangani perebakan wabak denggi dan chikungunya di negeri ini.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat khas berhubung kawalan denggi dan chikungunya di Pulau Pinang di sini tadi.

 

Menurut beliau, isu berkaitan denggi bukan suatu isu baharu tetapi telah berlanjutan sejak dahulu lagi.

 

Masalah utama adalah berkaitan tahap kesedaran masyarakat serta tahap kebersihan kawasan sekeliling (dalam sesuatu lokaliti).

 

“Jika di kawasan awam, saya percaya pihak berkuasa tempatan (PBT) telah melakukan pembersihan secara berkala, namun di kawasan persendirian atau halaman rumah atau kawasan perumahan terbiar, pihak berkaitan tidak mempunyai kawalan ke atasnya.

 

Oleh itu, perhatian secara kolektif dan holistik perlu diberikan meskipun hakikatnya kes di Pulau Pinang adalah sederhana berbanding negeri-negeri lain.

 

“Pihak berkaitan perlu merencana kempen keberkesanan komukasi dan memberi peluang untuk masyarakat dalam lokaliti memainkan peranan masing-masing,” ujarnya yang berharap aktiviti pencegahan serta kawalan dapat dipergiatkan pada masa hadapan.

KETUA Menteri ketika mempengerusikan mesyuarat khas berhubung kawalan denggi dan chikungunya di Pulau Pinang dekat Komtar, hari ini.

 

Mengulas mengenai laporan akhbar berhubung peningkatan kes denggi dan chikungunya di Pulau Pinang, Kon Yeow berharap rakyat tidak memberikan persepsi negatif kerana dipercayai laporan tersebut seolah-olah memberi gambaran bahawa ia hanya berlaku di Pulau Pinang.

 

Perkara sama turut dipersetujui Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin yang turut sama menghadiri mesyuarat berkaitan.

 

“Saya berharap masyarakat di semua lokaliti terus mengambil langkah-langkah disarankan JKNPP dan memberi kerjasama untuk sama-sama menghentikan peningkatan kes denggi serta chikungunya ini.

 

“Antaranya dengan menjalankan ‘plogging’ atau gotong-royong, memberi kerjasama dengan membenarkan pihak keselamatan menjalankan tinjauan atau semburan kabus di rumah dan segera mendapatkan rawatan apabila mengalami gejala,” sarannya.

 

Dalam pada itu, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Unit Vektor, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Dr. Justen Wong Han Wei memberitahu bahawa kes denggi yang dilaporkan saban tahun menunjukkan trend sama.

 

“Setiap tahun dalam bulan Jun atau Julai, kes denggi akan meningkat disebabkan faktor cuaca dan ia bukan sahaja berlaku di Pulau Pinang malah di seluruh negara.

 

“Sehingga 15 Julai, kes daftar mengikut daerah menunjukkan penurunan jika dibandingkan berdasarkan tahun, yang mana bagi Daerah Timur Laut (DTL) sejumlah 345 kes dicatatkan berbanding 855 kes pada 2019.

 

“Begitu juga bagi Daerah Barat Daya (DBD), 63 kes berbanding 494 kes (2019); Seberang Perai Utara (SPU), 71 berbanding 362 kes (2019); Seberang Perai Tengah (SPT) 77 berbanding 1,241 kes (2019) dan Seberang Perai Selatan (SPS) 34 berbanding 238 kes (2019).

 

“Secara kumulatif sehingga 15 Julai 2020, 562 kes denggi dilaporkan dengan satu kematian.

 

“(Dan) bagi kawasan wabak semasa, lokaliti di Jalan Lim Lean Teng dikategorikan sebagai ‘hotspot’ apabila tempoh wabak memasuki hari ke-41 dengan bilangan kes sebanyak 7.

 

“Bagi 10 lagi kawasan di DTL dikategorikan sebagai lokaliti wabak terkawal dan Solok Jelutong dikategorikan sebagai lokaliti wabak tidak terkawal apabila memasuki hari ke-24,” katanya ketika membentangkan laporan mingguan hari ini.

 

Tambah Dr. Justen, bagi minggu ke-28 tahun ini, bilangan kes yang dicatatkan oleh Pulau Pinang adalah 33 kes, yang mana Selangor mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu 895 kes dengan satu kematian diikuti oleh Johor (311); Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (310); Kelantan (139); Pahang (111); Sabah (84); Sabah (84); Negeri Sembilan (77) dengan satu kematian; Melaka (69); Perak (49); Kedah (29); Sarawak (26); Terengganu (3); Perlis (2) dan Wilayah Persekutuan Labuan (0).

 

Bercakap mengenai kes chikungunya, Dr. Justen memaklumkan bahawa kawasan wabak yang direkodkan sehingga kini adalah 40 lokaliti, yang mana 34 lokaliti di DTL, DBD (4) dan SPT (2).

 

“Chikungunya adalah demam yang disebabkan oleh virus daripada genus Alphavirus dalam keluarga Togaviridae.

 

Meskipun wabak chikungunya ini tidak membawa maut tetapi pesakit akan menjadi tidak produktif kerana mengalami sakit sendi yang teruk, demam dan ruam.

 

“Jadi pesakit perlu mendapatkan rawatan segera jika mengalami gejala dan pihak JKNPP akan menyiasat punca virus tersebut,” katanya.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN