Penduduk Mutiara Idaman I lega peroleh bantuan segera KN & ADUN

Admin

SUNGAI PINANG – Penduduk Pangsapuri Mutiara Idaman I dekat Jelutong di sini mampu menarik nafas lega apabila bumbung blok berkenaan yang rosak dan diterbangkan angin kencang pada 8 Ogos lalu, akan dibaiki segera melalui peruntukan Tabung Penyelenggaraan Maksima 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP).

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo ketika mengumumkan kelulusan segera ke atas bantuan dana berkenaan berkata, melalui tabung TPM80PP berkenaan, pihaknya telah bersetuju untuk membiayai sebanyak 80 peratus daripada nilai keseluruhan kerja pembaikan dan penggantian bumbung berkenaan iaitu sebanyak RM28,250.

Kita bersetuju memberikan bantuan segera sebanyak RM22,600, manakala bakinya iaitu 20 peratus (RM5,650) biasanya dibiayai oleh penduduk…

Tetapi disebabkan ADUN yang prihatin, Siew Khim telah bersetuju membiayai kos ini tanpa penduduk perlu mengeluarkan apa-apa kos terlibat,” ujarnya ketika mengadakan lawatan ringkas ke Pangsapuri Idaman Mutiara I, di sini pagi ini.

Hadir sama Penolong Setiausaha Kanan (Seksyen Pengurusan Perumahan) Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri, Mohd Fauzy Mohd Yusoff dan Pengerusi Badan Pengurusan Pangsapuri Mutiara Idaman I, Abdul Aziz Naina Mohamad.

Mengulas lanjut, Jagdeep berkata kerja-kerja pembaikan tersebut akan mengambil tempoh seminggu dan dijangka selesai 28 Ogos ini.

Kerja-kerja ini mesti disegerakan tetapi dalam masa yang sama kualiti kerja mesti dipatuhi,” ujarnya sambil berdoa agar cuaca baik sehingga semua kerja-kerja pembaikan diselesaikan.

Dalam perkembangan lain, pada sidang media yang sama Jagdeep turut memaklumkan bahawa pihaknya mensasarkan 100,000 unit rumah kos rendah (KR), kos sederhana rendah (KSR) dan rumah mampu milik (RMM) akan dibina menjelang tahun 2020.

Katanya, sasaran untuk membina 75,000 unit KR, KSR dan RMM dalam Manifesto PRU14 lalu telah dapat dipenuhi dengan jumlah keseluruhan sebanyak 82,000 unit selepas 100 hari Pilihan Raya Umum berlalu.

Kini, kita (Kerajaan Negeri) mensasarkans ebanyak 100,000 unit menjelang tahun 2020.

Selain pembekalan RMM yang mencukupi, Kerajaan Negeri juga berjanji akan meneruskan program-program penyelenggaraan melalui TPM80PP.

Menurut rekod sebelum PRU lalu sebanyak 247 projek dengan nilai RM22 juta telah diselenggara membabitkan lima buah daerah di Pulau Pinang.

Dan sehingga hari ini (21 Ogos 2018) penambahan projek menjadikan kepada 269 (projek) diluluskan dengan nilai RM24 juta,” jelasnya yang juga merupakan ADUN Datuk Keramat.